Polis Indonesia mengesahkan salah seorang daripada beberapa orang yang mati dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Kota Batu, Malang, Indonesia Rabu lalu adalah Dr. Azahari Husin.

Ketua Polis Kebangsaan Indonesia, Jeneral Susanto berkata, cebisan tangan beberapa anggota militan yang mati menjadi petunjuk utama mengesahkan kematian orang paling dikehendaki di Asia itu.

" Saya ingin mengesahkan kematian Azahari. Dua set cap jarinya sama dengan rekod cap jari Azahari pada dokumen kerajaan Malaysian bertarikh 1969," katanya.

Menurut laporan AFP, Susanto berkata, keadaan muka Dr. Azahari juga masih elok dan ini memudahkan pengecaman dibuat walaupun hasil ujian DNA belum diperolehi.

Dalam serbuan pada Rabu lalu, pasukan elit polis dan tentera Indonesia menyerbu sebuah rumah sewa Dr. Azahari dan rakan-rakannya. Dalam pertempuran itu " pakar bom " rakyat Malaysia itu dikatakan meletupkan dirinya bagi mengelak dari ditangkap hidup-hidup.

Seramai 12 orang dikatakan berada di dalam rumah tersebut dan hanya seorang ditangkap hidup-hidup. Rumah berkenaan dikatakan dihuni oleh kumpulan Dr. Azahari sejak tiga bulan lalu. Polis Indonesia turut menjumpai 30 bom berkuasa rendah di rumah tersebut.

Sementara itu di Perdana Mentri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Kerajaan Malaysia tidak berkeberatan jika keluarga Dr Azahari mahu menuntut mayatnya.

Menurut laporan Bernama, Abdullah bagaimanapun berkata, keluarga Dr. Azahari perlulah terlebih dahulu membuat permohonan.

"Kalau nak menuntut mayat Dr Azahari, kerajaan tidak mempunyai halangan mengenainya tapi perlu mendapat laporan rasmi DNA daripada kerajaan Indonesia," katanya kepada wartawan Malaysia di Lisotho yang membuat liputan Dialog Antarabangsa Selatan Afrika di negara Afrika itu.

Abdullah juga berkata kerajaan Malaysia masih menunggu laporan rasmi daripada kerajaan Indonesia berhubung kematian Dr. Azahari.

Katanya pengesahan daripada laporan ujian DNA masih diperlukan walaupun laporan kesan cap cari mengesahkan mayat berkenaan adalah Dr.Azahari.

Perdana Menteri berkata laporan penuh mengenai kejayaan pihak berkuasa di Indonesia menumpaskan Azahari itu perlu sebelum sebarang tindakan susulan dapat diambil.

"Kita perlu tunggu laporan penuh yang rasmi dari kerajaan Indonesia. Kita hanya dengar daripada laporan media," katanya.

Sebelum ini Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Noh Omar berkata, sudah menjadi dasar kerajaan iaitu tidak kira siapa saja asalkan rakyat Malaysia yang meninggal di luar negara, mayatnya dibawa pulang untuk dikebumikan di sini.

"Ia adalah proses biasa dan kerajaan Malaysia sedia memberikan kerjasama,"katanya,

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hasrat mertua Dr. Azahari dan isterinya, Wan Noraini Jusoh yang bercadang menuntut jenazah daripada pihak berkuasa Indonesia.