Timbalan Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mendakwa laporan akhbar yang berbeza-beza mengenai kenyataannya berhubung isu pelaksanaan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (BI) di sekolah rendah telah menimbulkan salah faham dan salah tafsir di kalangan pemimpin masyarakat.

Ketua Menteri itu berkata bagi meredakan isu itu, adalah lebih baik dan sesuai untuk beliau membincangkannya secara terus melalui saluran dalaman kerajaan dan Barisan Nasional (BN).

"Saya akan memberi maklum balas dan membincangkan aspek-aspek pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris melalui saluran dalaman kerajaan dan BN dan bukan secara terbuka lagi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan akhbarnya yang diedarkan kepada pemberita pada majlis rumah terbuka anjuran Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Jamaluddin Hassan di Pulau Pinang semalam.

Menurut laporan Bernama, beliau yang enggan ditemui meminta pemberita merujuk kepada kenyataan sepanjang lima perenggan itu yang menyebut bahawa laporan-laporan di dalam akhbar yang berlainan telah memberi penekanan yang agak berbeza terhadap apa yang diulasnya pada 6 dan 8 November lepas.

"Akibatnya, ia telah mencetuskan salah faham dan salah tafsir di kalangan para pemimpin masyarakat yang tertentu, ada di antaranya kawan-kawaan rapat saya dari parti-parti komponen BN," katanya.

Beliau berkata beliau akan berusaha untuk memberikan penjelasan kepada "kawan-kawannya" secara bersemuka.

Koh menegaskan beliau sebenarnya bertujuan baik untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan, khasnya dalam mata pelajaran Sains dan Matematik dan bukan bertujuan untuk mencetuskan pertikaian atau menyinggung perasaan mana-mana pihak.

"Lebih-lebih lagi saya tidak berhasrat untuk menjejas prestasi murid-murid yang sedang mengikuti sistem itu sekarang," katanya.

Beliau berkata dalam tempoh dua atau tiga bulan kebelakangan ini, beliau telah dan sedang memberi maklum balas kepada Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan juga beberapa tokoh pemimpin di pucuk pimpinan kerajaan dan BN.

"Saya juga percaya pihak kementerian telah dan sedang menerima maklum balas dan akan mengambil langkah-langkah menambah baik dari segi pelaksanaannya," jelas Koh.

Koh sebelum ini dilaporkan sebagai berkata beliau akan terus membangkitkan isu bahasa pengantar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda kerana ia masih menjadi teras perjuangan Gerakan sejak 2002.

Beliau berkata pembelajaran dalam bahasa ibunda lebih selesa dan mudah difahami kerana murid-murid sudah biasa dengan penggunaannya.

Koh juga dipetik sebagai berkata beliau bersedia membangkitkan isu tersebut ke peringkat lebih tinggi sekiranya perlu berbuat demikian.