Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Guru tidak perlu lagi buat audit, siapkan dokumen

Guru tidak perlu lagi membuat siri audit yang sebelum ini membebankan mereka dengan pelbagai dokumen dan kertas kerja, kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Beliau berkata, arahan pemberhentian siri audit Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) itu berkuat kuasa serta merta dan guru kini boleh memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugas mengajar.

SKPMg2 dikendalikan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK),  merangkumi lima standard iaitu kepemimpinan, pengurusan organisasi, pengurusan kurikulum, kokurikulum dan hal ehwal pelajar, pembelajaran dan pemudahcara serta kemenjadian murid.

Ia pada asalnya diwujudkan dengan matlamat memastikan kelangsungan transformasi pendidikan negara selaras dengan keperluan pendidikan bertaraf global.

Namun Maszlee berkata audit yang memerlukan guru mengisi data dalam sistem itu telah menimbulkan salah faham dan kegelisahan di kalangan mereka.

"Sehubungan itu saya membuat keputusan untuk hentikan siri audit oleh JNJK ini berkuat kuasa serta-merta," katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) memohon agar kementerian membantu menyelesaikan itu yang dilihat membebankan guru.

NUTP berkata pihaknya menerima banyak rungutan daripada guru yang menyifatkan bebanan tugas mereka bertambah kerana perlu menyiapkan dokumen SKPMg2.

Sijil kemahiran di tahfiz

Sementara itu, Maszlee berkata kementerian pendidikan akan menawarkan kursus kemahiran kepada pelajar tahfiz melalui kerjasama dengan kolej komuniti.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan pelajar tahfiz tidak ketinggalan dalam aspek kemahiran yang boleh menjana pendapatan selepas tamat persekolahan.

“Ia untuk memastikan anak-anak tahfiz bukan sekadar menjadi ustaz atau imam di masjid. Kita yakin ada di kalangan mereka yang berpotensi untuk menjadi usahwan berjaya,” katanya.

Lihat Komen
ADS