Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mokhtar Senik: Ada 'hantu raya' cuba balas dendam pada Agong
Diterbitkan:  Jun 7, 2018 5:49 PM
Dikemaskini: 10:08 AM

Seorang pemimpin kanan PAS mendakwa, tindakan pihak tertentu memainkan isu perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V mempunyai kaitan "dendam".

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Mokhtar Senik juga memberi amaran bahawa amalan "politik barbarian" kini diamalkan dalam bentuk sekular.

"Usaha membongkar perbelanjaan YDPA (Agong) dilihat lebih kepada mahu membalas dendam atas keenganan (baginda) merestui pelantikan peguam negara baru-baru ini.

"Jaga-jaga politik barbarian kembali diamalkan dalam kerangka sakularnya," kata beliau dalam hantaran di Facebook.

Mokhar yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Pahang mengulas mengenai isu perbelanjaan dikeluarkan kerajaan ke atas Agong yang tular beberapa hari lalu.

Bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd dan pemimpin BERSATU Datuk A Kadir Jasin pula membangkitkan jumlah peruntukan kepada Agong yang didakwanya bernilai lebih RM200 juta.

Dakwaan itu dimuatkan beliau dalam blog peribadinya.

Macam hantu raya

Dilihat menimbulkan rasa kurang senang pihak tertentu termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kadir kemudian menasihati orang ramai membaca sendiri pandangannya itu dalam tulisan asal di blog tersebut.

Sebelum itu sesetengah pihak mendakwa Agong tidak memberi perkenan kepada cadangan kerajaan untuk melantik peguam kanan Tommy Thomas sebagai peguam negara.

Di Kelantan PAS menganjurkan solat hajat untuk menunjukkan kebersamaan parti itu dengan Agong yang didakwa keberatan mahu menerima cadangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.


Baca PAS berlapang dada terima AG baru


Bagaimanapun beberapa jam selepas itu Istana Negara mengeluarkan kenyataan merestui cadangan kerajaan dan Agong bersetuju melantik Thomas sebagai peguam negara.

Malah baginda turut menzahirkan rasa dukacita dan bimbang terhadap laporan yang tidak tepat dan bersifat negatif kebelakangan mengenai isu berkenaan.

Kata Mokhtar "roh" Umno dan BN sebenarnya masih ada dan wujud dalam "jasad Pakatan Harapan".

"Ibarat hantu raya yang bertukar tuan. Makanannya masih sama, darah di jari manis dan telur mentah. Perangainya pun masih sama.

"Yang agak berbeza sedikit mungkin suaranya. Itu pun tidak lama... suara halus yg mengoda boleh bertukar jadi garau sebagaimana asal apabila terkejut," tulisnya lagi.

Sementara itu Bendahari Dewan Ulama Pusat PAS Datuk Dr Khairuddin Aman Razali pula menasihati semua pihak menunjukkan hormat kepada Agong serta Raja-raja Melayu di negara ini.

Kata anggota parlimen Kuala Nerus itu lagi Islam melarang perbuatan mencela makhluk yang diciptakan Allah.

"Sesunggunya Islam melarang keras perbuatan mencela terhadap makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT, apatah lagi mencela seorang Muslim (yang) beriman kepada Allah," katanya sambil memetik sebuah hadir nabi.

Khairuddin berkata Raja-raja Melayu menjadi sumber perpaduan dan keharmonian dalam kalangan rakyat, selain menjamin kemakmuran negara sejak sekian lama.

"Tindakan menghina dan menuduh Agong dengan pelbagai perkataan dan dakwaan yang bukan-bukan serta tidak berasas oleh beberapa individu dan pihak mutakhir ini adalah amat mengecewakan.

"Ia dilihat sebagai suatu fenomena yang sangat membimbangkan kerana juga berunsurkan hasutan," katanya.

Lihat Komen
ADS