Sumber: Peguam Jho Low belum hubungi SPRM
Peguam tokoh usahawan kontroversial Jho Low yang berkaitan dengan 1MDB belum menghubungi SPRM, kata sumber.
"Kami belum dihubungi oleh peguam Low. Mengapa perlu dia bercakap melalui penguam dan bukan menampilkan dirinya?" kata sumber itu kepada Malaysiakini.
Malaysiakini telah menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Shukri Abdull dan ketua pasukan petugas khas 1MDB Tan Sri Abdul Gani Patail untuk pengesahan.
Awal hari ini, firma undang-undang yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Kobre & Kim mengeluarkan satu kenyataan bagi pihak Low yang mengatakan usahawan itu mengarahkan peguamnya untuk menghubungi SPRM hari ini.
Ini susulan tindakan SPRM hari ini yang meminta Low dan peguam Nik Faisal Ariff Kamil tampil bagi membantu siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd.
SRC International adalah bekas anak syarikat 1MDB. Adalah didakwa bahawa RM42 juta daripada firma itu telah diselewengkan dan disalurkan ke akaun bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Low juga adalah tokoh penting yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

