Comango lancar laporan hak asasi manusia
Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Hak Asasi Manusia (Comango) hari ini melancarkan Laporan Pihak Berkepentingan Penilaian Berkala Sejagat (UPR) yang memberi gambaran berhubung situasi hak asasi manusia di negara ini.
Laporan itu dibuat berdasarkan pemerhatian NGO berkenaan terhadap tindakan kerajaan selepas mereka mengadakan beberapa siri sesi rundingan antara tahun 2014 hingga 2017.
Dalam laporan itu juga, Comango turut menyenaraikan situasi-situasi yang berlaku sebelum ini bawah pentadbiran BN.
Selain menyenaraikan situasi atau kes yang berlaku, laporan itu turut memberi cadangan penyelesaian terhadap perkara yang dibangkitkan.
Sehubungan itu, dengan kerajaan baru Pakatan Harapan (HARAPAN), Comango berharap agar taraf hak asasi manusia di negara ini dapat ditambah baik.
Gabungan NGO itu turut mengalu-alukan kerajaan HARAPAN untuk melakukan kerjasama dengan Comango bagi berbincang tentang isu hak asasi manusia di negara ini.
Berikut merupakan antara perkara yang dibangkitkan serta cadangan dalam laporan berkenaan:
- Memansuhkan semua undang-undang yang bertentangan dengan artikel 3(4) Perlembagaan Persekutuan dan yang membenarkan permohonan undang-undang sewenang-wenang serta peruntukan yang bertindih berkaitan jenayah.
- Meminda Seksyen 375 Kanun Keseksaan dan semua undang-undang berkaitan seperti Akta Keganasan Rumah Tangga bagi memastikan tindakan menghendap, merogol serta apa jua bentuk hubungan seks lain yang dilakukan secara paksa antara pasangan yang sudah berkahwin dan rakan yang belum berkahwin sebagai jenayah.
- Menghapuskan segala ucapan, aktiviti anti-LGBT yang mendiskriminasi dan berbahaya.

