Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pakar: Lawatan Dr M ke Jepun kurangkan bergantung pada China

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menggunakan peluang lawatannya ke Jepun untuk menarik pelaburan asing dan mengurangkan kebergantungan Malaysia dengan China, menurut beberapa pakar dasar luar negara.

Salah seorang daripada mereka, profesor madya politik dan hubungan antarabangsa Universiti Malaysia Sabah, Dr Lai Yew Meng berkata mungkin terdapat keperluan bagi Malaysia untuk mengurangkan pergantungan perdagangannya dengan China, walaupun perubahan drastik tidak dijangka berlaku kerana Mahathir telah memberi jaminan China bukan ancaman.

Beliau berkata banyak pelaburan dari China pada masa lalu masuk ke negara dalam bentuk pinjaman besar berbanding pelaburan sebenar.

"Kita (Malaysia) hanya mahu mengurangkan kebergantungan ekonomi terhadap negara ini. Sama ada kita suka atau tidak, China masih menjadi rakan perdagangan terbesar kita untuk tahun kesembilan berturut-turut.

"Sesungguhnya kita mahu melindungi hubungan dua hala ini dan tidak akan membiarkannya merosot dan menimbulkan kerugian kepada kita," katanya kepada Malaysiakini.

Nafas baru Dasar Pandang Ke Timur

Secara berasingan, penasihat kanan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) mengenai hal ehwal antarabangsa, Oh Ei Sun bersetuju Malaysia sentiasa memberi keutamaan dalam hal-ehwal perdagangan dan pelaburan.

Beliau berkata Mahathir ialah salah seorang daripada beberapa ketua kerajaan yang menghadiri Persidangan Nikkei di Jepun maka ia bermakna beliau akan mendapat sorotan dengan lebih jelas pada majlis berkenaan.

Mahathir pernah menggalakkan "Dasar Lihat Ke Timur" sejak tempoh pentadbirannya terdahulu dan bersedia untuk memberikannya nafas baru. Beliau sering menyertai persidangan itu sebagai perdana menteri keempat Malaysia dan selama bertahun-tahun selepas beliau bersara.

Persidangan berkenaan akan diadakan pada 11 dan 12 Jun 2018 ini dan Dr Mahathir dijangka menyampaikan ucaptama sebagai pembicara pertama majlis tersebut.

Ditanya jika Mahathir memilih Jepun sebagai destinasi asing pertamanya sebagai perdana menteri ketujuh mempunyai apa-apa kepentingan atau sekadar kebetulan semata-mata, Ei Sun (gambar) menjawab ia campuran kedua-keduanya.

"Beliau sememangnya sudah biasa hadir di persidangan berkenaan. Beliau juga merupakan pengagum budaya Jepun yang rajin," katanya.

Sementara itu, bekas duta besar, Dennis Ignatius memberitahu Malaysiakini, terdapat keperluan untuk mengembalikan keseimbangan dalam hubungan Malaysia dengan jirannya di Asia, selepas hanya memberi tumpuan hanya kepada China dengan mengesampingkan hubungan bersama negara lain.

"Saya fikir kita akan mula melihat pembetulan arah haluan.

"Mahathir juga mahu menggunakan kesempatan Persidangan Nikkei untuk meyakinkan pelabur asing bahawa Malaysia di bawah kerajaan baru akan terus terbuka dan mengalu-alukan pelaburan dari luar negara.

"Memang, persekitaran perniagaan akan lebih kondusif daripada sebelumnya, memandangkan komitmen terhadap ketelusan, kedaulatan undang-undang dan pendirian tegas terhadap rasuah," katanya.

Beliau berkata China dijangka kekal sebagai rakan ekonomi utama Malaysia meskipun dengan "pembetulan arah haluan" tersebut, tetapi negara itu perlu menyesuaikan diri dengan kerajaan baru HARAPAN yang akan lebih melindungi kepentingan nasionalnya sendiri.

Isu-isu peninggalan era Najib

"Apa yang berlaku pada masa hadapan sekarang bergantung kepada seberapa cepat dan seberapa baik kita dapat selesaikan beberapa isu yang ditinggalkan era (bekas perdana menteri Datuk Seri) Najib (Razak).

"Memandangkan sikap muhibah dan kesanggupan untuk berkompromi bagi kedua-dua belah pihak, tiada sebab mengapa hubungan Malaysia-China tidak sepatutnya kembali ke landasan pertumbuhan pesat," katanya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Steven CM Wong, bersetuju Jepun merasakan Malaysia telah terlalu dekat dengan China sejak sepuluh tahun yang lalu.

"Beliau (Mahathir) mempunyai rangkaian yang teguh di sana (Persidangan Nikkei). Sekarang beliau kembali sebagai perdana menteri, Jepun akan cuba menarik perhatiannya dengan menawarkan pelaburan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS