Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno kapal karam, perlu nakhoda baru, kata Razlan

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Razlan Rafii menyamakan keadaan parti itu sekarang seperti kapal karam yang amat memerlukan nakhoda baru untuk menyelamatkannya dan merancang arah haluan baru.

"Kita nak bawak kapal ini jauh, kapal yang kita ada ini sudah tenggelam dan apa yang kita nak buat hari ini adalah apungkan kapal yang tenggelam ini untuk berlayar semula untuk kita menuju semula ke kemenangan.

"Tetapi sekiranya nakhoda itu adalah nakhoda yang sama di kapal yang karam itu, amat sukar untuk apungkan kembali kapal ini.

"Tapi cuma saya minta ada satu perubahan yang drastik lah, untuk kita melihat semula Umno kembali dan memberi harapan semula kepada akar umbi untuk teruskan (berada dalam) kapal," kata Razlan memberitahu Malaysiakini dalam wawancara di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Selepas berlayar tanpa kalah selama enam dekad, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengetuai Umno dan gabungan BN untuk kekalahan pertama pada 9 Mei lalu dalam pilihan raya umum ke-14.

Nakhoda baru

Berikutan kekalahan ini, Najib meletak jawatan sebagai presiden Umno dan pengerusi BN.

Pemilihan Umno pada 23 Jun depan yang telah lama ditunda itu bakal memberi peluang untuk parti itu mengkaji semula dan secara radikal membina semula dirinya, kata Razlan.

Beliau juga mencadangkan beberapa "nakhoda" baru untuk memimpin Umno ke era baru.

Sejauh ini, hanya Datuk Seri Mohamad Hasan yang telah mengemukakan borang pencalonannya tetapi untuk jawatan timbalan presiden. Kedua-dua Datuk Seri Mustapa Mohamed (pengerusi Umno Kelantan) dan Tengku Razaleigh Hamzah, lebih dikenali sebagai Ku Li, mengatakan mereka belum memutuskan lagi bertandin jawatan tertinggi Umno itu.

Selain blogger yang kurang dikenali, pesaing utama untuk jawatan presiden Umno ialah pemangku presiden dan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Ada yang mengatakan Tok Pa (Mustapha Mohamed) layak untuk mengetuai Umno, ada yang mintak Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) untuk kembali bersama Umno untuk memperbetulkan imej Umno, dan ada juga yang mintak (Datuk Seri Mohamad) Mat Hassan untuk terus bertanding presiden," jelas Razlan yang berkata pemimpin berkenaan memiliki wibawa dan integriti.

"Sebab kita dah tak boleh bergantung dengan calon tunggal, bagilah rakyat pilih

"Dan saya percaya Umno perlu satu presiden, muka yang baru.

"Kita hormati Datuk Seri Zahid bertanding sebagai presiden tapi saya juga mengharapkan, pemuda Umno juga mengharapkan ada calon presiden lain yang diimpikan oleh rakyat," kata Razlan yang bertanding jawatan majlis tertinggi Umno.

Razlan percaya antara faktor utama membawa kejatuhan Umno adalah penolakan meluas terhadap Najib, ditambah dengan 'faktor menakjubkan' yang dimiliki oleh Perdana Menteri yang baru, Tun Dr Mahathir Mohamad, terutamanya di kalangan anak muda.

Budaya warlord, diam diri 1MDB

Razlan juga suara desakan dalam partinya untuk menamatkan apa yang disebut beliau sebagai budaya "warlord" (panglima perang) yang sangat memudaratkan dalam Umno.

Sebagai pemimpin akar umbi, Razlan berkata beliau yakin kesilapan terbesar Umno adalah "budaya berdiam diri" mengenai isu-isu seperti 1MDB dan penolakan bulat-bulat teguran daripada anggota akar umbi.

"Pada pandangan saya, salah satu isu terbesar di dalam Umno adalah warlord dan kebanyakan mereka dikunci suara oleh pucuk pimpinan untuk tidak bangkitkan sesetengah isu, kes 1MDB ini.

"Apabila kes 1MDB ini masa tu tengah krisis yang amat tinggi pada ketika itu, seluruh ahli Umno tak dibenarkan membahaskan kes ini. Ini sebenarnya yang mengekang akar umbi untuk terus bersuara.

"Sebelum ini macam itu, Tak boleh bincang RM2.6b, 1MDB," kata Razlan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS