Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Orang kuat MCA bela wakil rakyat HARAPAN di Perlis, Pahang
Diterbitkan:  Jun 8, 2018 1:46 PM
Dikemaskini: 5:53 AM

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong meminta kerajaan BN yang masih mentadbir dua negeri di Semenanjung Malaysia supaya memberikan layanan sama kepada wakil rakyat Pakatan Harapan (HARAPAN).

Anggota parlimen Ayer Hitam itu berkata peruntukan terhadap wakil rakyat di Perlis dan Pahang perlu diberikan dalam jumlah sama diterima BN di kedua-dua dewan undangan negeri (DUN)terbabit.

Kata Wee untuk menyatakan harapan itu beliau menulis surat secara rasmi kepada menteri besar Perlis dan Pahang supaya ia dapat dipertimbangkan.

"Pagi ini saya telah menulis surat kepada menteri besar Pahang dan Perlis untuk mencadangkan pemberian peruntukan yang adil dan saksama (same amount) kepada semua anggota dwan undangan negeri (ADUN) negeri tersebut tanpa mengira parti," katanya dalam satu kenyataan tengah hari ini.

Peruntukan daripada kerajaan kepada pembangkang adalah antara isu yang sering dirungutkan oleh wakil pembangkang.

Sebelum ini, wakil rakyat pembangkang - sama ada di peringkat DUN atau Dewan Rakyat - tidak diberikan peruntukan.

Bagaimanapun keadaan mula berubah apabila BN mula ditolak pengundi, bermula dengan kegagalan mereka di Selangor dan Pulau Pinang.

Harapan Malaysia baru

Selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu BN ditolak sepenuhnya di peringkat pusat, malah di semenanjung parti itu sekadar bertahan di Perlis dan Pahang.

Kelantan dan Terengganu pula dikuasai PAS.

Kerajaan HARAPAN kemudian mengumumkan akan tetap memberi peruntukan kepada wakil rakyat BN yang kini menjadi pembangkang.

Kata Wee kerajaan BN tidak harus mendiskriminasi ADUN sekali gus menghukkum rakyat di kawasan yang diwakili mereka.

Malah bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut memberikan harapannya buat kerajaan baru Malaysia.

"Saya berharap kerajaan HARAPAN boleh mentadbir negara dengan lebih baik dan adil berbanding kerajaan BN sebelum ini.

"Sama-sama kita berusaha untuk membentuk Malaysia baru," katanya.

DUN Perlis kekal di tangan BN selepas parti itu memenangi 10 daripada 15 kerusi yang ada. Bagaimanapun negeri itu masih dilanda krisis ekoran pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar.

Pahang pula menyaksikan BN terselamat daripada kecundang apabila mempertahankan 25 daripada 42 kerusi DUN. Bagaimanapun daripada 25 kerusi berkenaan 24 adalah anggota Umno manakala bakinya MCA.

Lihat Komen
ADS