Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Umno puji Anwar, kritik Kadir Jasin
Diterbitkan:  Jun 8, 2018 4:03 PM
Dikemaskini: 9:10 AM

Bekas timbalan menteri Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memuji pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai keperluan menjaga tertib dan menghormati institusi istana.

"Sikap dan pandangan rasmi Anwar berkenaan keperluan menjaga tertib (decorum) dan penghormatan kepada institusi raja amat dihargai.

"Kesungguhan beliau menemui dan menyantuni Duli Tuanku ini adalah amalan politik yang mulia dan wajar dipuji," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Reezal yang juga Ketua Pemuda Umno Kepala Batas di Pulau Pinang mendakwa bekas ketua pengarang Kumpulan NSTP, Datuk A Kadir Jasin menggunakan alasan "pandangan peribadi" sebagai benteng membenarkan "serangan halus" terhadap Yang di-Pertuan Agong dan institusi raja.

"Pendirian tegas Anwar ini pastinya berbeza dengan sikap kurang waspada yang ditampilkan oleh individu seperti Kadir.

"Menggunakan alasan pandangan peribadi sebagai benteng membenarkan serangan halus terhadap Yang di-Pertuan Agong dan institusi raja ini amat-amat dikesali.

"Sebagai seorang yang cukup berpengalaman dan veteran di dalam bidang kewartawanan, Kadir sepatutnya maklum berkenaan batas-batas isu yang tidak wajar dibangkitkan di atas apa jua sebab dan alasan," kata Reezal.

Anggota Parlimen Kepala Batas itu juga berkata sikap dan pandangan wartawan veteran itu sebagai hanya memburukkan lagi keadaan.

"Sebagai pimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan juga Ketua Komunikasi, Majlis Penasihat Kebangsaan - agak sukar sebenarnya untuk Kadir Jasin mempertahan hujah bahawa ini adalah pandangan peribadi.

'Kadir Jasin burukkan lagi keadaan'

"Sebagai seorang yang berada di dalam paksi kepimpinan kerajaan; sikap dan pandangan A Kadir Jasin ini adalah tidak wajar dan hanya memburukkan lagi keadaan," katanya lagi.

Dalam catatan blognya, Kadir menulis pihak istana tidak perlu risau mengenai kedudukan mereka disebabkan kerajaan sering kali memberikan peruntukan besar.

Kadir memetik sejumlah RM256.9 juta yang telah diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk 16 bulan menjelang April tahun ini. Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sumber maklumat itu.

Menurut Perbendaharaan, kerajaan hanya memperuntukkan RM13.5 juta setiap tahun kepada YDPA.

Manakala itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik wartawan veteran dan pemimpin BERSATU itu berkata Kadir patut lebih tertib dan menunjukkan penghormatan.

Lihat Komen
ADS