Pelantikan Mahani Masban bukti komitmen HARAPAN iktiraf wanita - Zuraida
Pelantikan Mahani Masban sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Melaka yang berkuat kuasa hari ini, adalah bukti komitmen kerajaan Pakatan Harapan dalam mencapai penyertaan aktif 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata golongan wanita di seluruh negara pada hari ini ternyata mempunyai lebih peluang membuktikan bakat kepimpinan mereka.
“Peluang sama rata diberikan kepada wanita untuk memainkan peranan mereka dalam kerajaan baharu ini dengan mengambil kira inklusiviti yang pelbagai.
“Semua golongan dihargai dan diberi peranan sesuai sama ada daripada kalangan profesional mahupun aktivis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zuraida berkata beliau yakin Mahani, yang mempunyai pengalaman luas bersama masyarakat, akan melaksanakan peranannya dengan penuh tanggungjawab dan integriti.
- Bernama

