CAP gesa penalti lebih berat terhadap pesalah jalan raya
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengenakan penalti lebih berat kepada mereka yang melanggar undang-undang jalan raya yang berpotensi menyebabkan kematian.
Merujuk kepada kes kematian akibat nahas jalan raya yang sering mendominasi laporan media setiap kali musim perayaan, Presiden CAP SM Mohamed Idris berkata kebanyakan kemalangan maut itu boleh dielakkan jika pengguna jalan raya mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
“Senario kematian di jalan raya di Malaysia semakin bertambah serius, seakan-akan satu penyakit mengancam nyawa seperti kanser… ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Boleh dikatakan semua orang yang berada di jalan raya berpotensi menjadi mangsa.
“Sehubungan itu, kami merasa sangat bimbang dengan berita pengguna jalan raya maut ketika sambutan raya lagi bermula,” katanya pada sidang media di George Town semalam.
Menurut CAP, lebih setengah juta kemalangan direkodkan di Malaysia sejak 2017 dengan 6,740 adalah kemalangan maut.
Beliau berkata semua kenderaan harus melalui pemeriksaan yang ketat selain perlu mematuhi standard keselamatan berkaitan bagi memastikan kemalangan yang berpunca daripada kecacatan komponen atau komponen substandard atau haus dapat diminimumkan, jika tidak dapat dihapuskan sepenuhnya.
Katanya tindakan saman semata-mata terhadap pesalah trafik tidak mencukupi untuk mengurangkan bilangan kesalahan jalan raya secara signifikan, justeru beliau menggesa kerajaan mencari penyelesaian yang lebih baik.
Beliau mencadangkan langkah-langkah baharu antaranya kerja-kerja komuniti di depan khalayak ramai seperti menyapu jalan dan membersihkan tandas awam sekurang-kurangnya selama seminggu seperti yang dilaksanakan di Singapura.
Selain itu, beliau berkata kerajaan juga harus lebih tegas menguatkuasakan undang-undang yang dilaksanakan bagi kesalahan memandu secara semberono pada kelajuan tertentu yang berpotensi menyebabkan kematian atau mendatangkan bahaya kepada orang awam seperti Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan.
Seksyen itu memperuntukkan mereka yang disabitkan kesalahan dipenjara sehingga lima tahun dengan denda tidak kurang RM5,000.
- Bernama

