Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Suara' sokong Dr Idris muncul di Selangor
Diterbitkan:  Jun 9, 2018 12:36 PM
Dikemaskini: 4:40 AM

Sehari selepas media melaporkan mengenai isu calon menteri besar Selangor, beberapa pemidang dinaikkan di lokasi-lokasi strategik di negeri itu.

Tidak diketahui siapa dalang di sebalik paparan umum berkenaan namun ia jelas menunjukkan sokongan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad, yang dicadangkan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor untuk menjadi menteri besar baru di negeri itu.

Antara lokasi pemidang itu dinaikkan ialah di Jalan Gombak, Taman Medan, Abdullah Hukum dan Hulu Kelang.

Tidak ketinggalan, Bukit Antarabangsa yang juga kawasan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali.

Malaysiakini difahamkan poster serta pemidang berkenaan dinaikkan awal pagi tadi dan sehingga tengah hari ini ia masih dapat dilihat orang ramai.

Semalam portal ini melaporkan mengenai pemimpin HARAPAN Selangor mengutus surat kepada pihak istana bagi menyatakan sokongan agar Dr Idris dilantik menggantikan Azmin yang diberikan tanggungjawab sebagai menteri pusat.

Azmin ialah menteri besar Selangor sejak Sept 2014.

Pelantikan ADUN Bukit Antarabangsa itu menjadi anggota kabinet oleh Tun Dr Mahathir Mohamad mendorong beliau melepaskan jawatan di peringkat Selangor.

Sesetengah pihak dikatakan mencadangkan nama ADUN Sungai Tua, Amirudin Shari, sebagai pengganti Azmin.

Amirudin, 38, ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi.

Selain Amirudin, satu lagi nama yang dikemukakan mereka ialah ADUN Seri Setia Dr Shaharuddin Badaruddin.

Sumber memberitahu majoriti pemimpin HARAPAN Selangor lebih selesa jika Dr Idris yang juga pakar obstetrik dan ginekologi dipilih mengisi kekosongan ditinggalkan Azmin.

Bagaimanapun semua pihak akur keputusan muktamad terletak di tangan Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai ketua negeri.

Menurut sumber Dr Idris memberikan khidmat yang baik selama menjadi ADUN Ijok sejak 2013.

"Malah beliau diyakini boleh menguruskan Selangor dengan lebih telus serta cekap.

"Petanda itu sudah dibayangkan dengan kesanggupannya menjadi salah seorang wakil rakyat yang membuat pengisytiharan harta baru-baru ini," katanya.

Pengumuman mengenai nama menteri besar baru Selangor dijangka diadakan selepas sambutan Aidilfitri minggu depan.

Lihat Komen
ADS