Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syarikat, peniaga masih perlu kemuka penyata GST-30
Diterbitkan:  Jun 9, 2018 3:24 PM
Dikemaskini: 7:27 AM

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) meminta semua peniaga yang berdaftar di bawah sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk mengemukakan penyata GST 03 walaupun pelaksanaan kadar sifar GST telah mula berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.

Pengarah JKDM Kedah, Datuk Johari Alifiah berkata pihaknya dimaklumkan terdapat syarikat dan peniaga yang masih tidak mengemukakan penyata GST-03 berikutan timbul kekeliruan bahawa penyata itu tidak lagi perlu dikemukan selepas GST berada pada kadar sifar.

"Syarikat dan peniaga yang berdaftar masih perlu kemukakan penyata GST-03 ini kerana ia masih dikuatkuasa sehingga sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diumumkan kerajaan pada September nanti.

"Kita hendak pastikan pungutan sifar GST ini dikembalikan kepada kerajaan sebab itu sudah menjadi tanggungjawab syarikat dan peniaga untuk mengemukakan penyata GST-03 ini," katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.

Katanya, kira-kira 15,000 peniaga di Kedah berdaftar dengan sistem GST di mana 95 peratus daripadanya telah berjaya mengemukakan penyata GST-03 sebelum ini.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah Mohamad Fitri Hassan berkata sejak perlaksanaan sifar GST pada 1 Jun lalu, sebanyak 18 aduan termasuk satu notis dikeluarkan mengikut Sekyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Kita telah menjalankan pemeriksaan di 789 premis seluruh Kedah membabitkan pemeriksaan 23,670 barangan. Daripada jumlah aduan, 11 daripadanya membabitkan aduan harga masih kekal meskipun selepas pelaksanaan kadar sifar GST dan dua kes salah faham antara peniaga serta pembeli berhubung kadar baharu itu.

"Baki kes lain membabitkan kenaikan harga selain kekeliruan mengenai barangan yang memang sifar GST iaitu sayur-sayuran dan buah-buahan," katanya.

Katanya, Alor Setar mencatatkan bilangan aduan tertinggi iaitu 11 aduan diikuti tiga di Sungai Petani dan masing-masing dua di Kubang Pasu dan Kulim.

- Bernama

Lihat Komen
ADS