Majlis makan malam penghargaan anjuran DAP untuk sukarelawan Parlimen Bukit Gelugor malam tadi terganggu apabila fius elektrik terbakar, menyebabkan kepulan asap dan orang ramai bergegas keluar dari tingkat atas Kompleks Masyarakat Penyayang di Jalan Utama, Pulau Pinang.

Anggota Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata beliau kesal dengan insiden berkenaan dan memohon maaf atas kejadian itu kepada semua sukarelawan terbabit.

"Saya gembira dan berasa lega yang kami sedar lebih awal sebelum sesuatu buruk berlaku. Kami percaya punca kebakaran disebabkan satu fius terbakar.

"Kami mahu beritahu sukarelawan yang kami akan menganjurkan satu lagi makan malam serupa tidak lama lagi," katanya.

Kejadian tersebut berlaku sekitar jam 9 malam apabila bau terbakar datang dari belakang pentas ketika ADUN Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid memberikan ucapan. 

Bekalan elektrik di tempat kejadian kemudian diputuskan dan orang ramai dipindahkan ke tempat selamat.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow dibawa ke tingkat bawah bersama anggota Parlimen Jelutong RSN Rayer dan ADUN-ADUN lain yang hadir pada majlis tersebut.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat bergegas ke tempat kejadian tetapi tidak menemui sebarang kebakaran.