Saari: Otai Reformis perlu semak imbang k'jaan
Otai Reformis merupakan kumpulan yang berjuang untuk pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun sudah sampai masanya mereka menukar haluan
memandangkan ketua umum PKR itu sudah dibebaskan, kata bekas pengerusinya.
"(Otai Reformis masih) relevan namun ia hanya akan relevan jika memainkan peranan dalam menyokong kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan dalam masa sama kekal kritikal terhadapnya," kata Saari Sungib yang meletakkan jawatan sebagai pebgerusi Otai Reformis pada Julai 2017.
Belliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program yang dianjurkan Otai Reformis di Ulu Kelang, Kuala Lumpur hari ini.
ADUN Hulu Kelang itu berkata terdapat permintaan agar beliau kembali menjawat jawatan pengerusi dalam kumpulan itu, namun setakat ini beliau menolaknya.
"Saya tidak kata saya mungkin ambil semula (jawatan itu) kerana saya mahu yakin bahawa mereka akan membawa kumpulan itu menjadi gerakan yang kritikal, yang boleh mengkritik kerajaan namun tetap setia dengan perjuangan," katanya.
Tambahnya, ini terutamanya apabila pembangkang tidak begitu menjalankan tugas, maka Otai Reformis boleh mengisi kekurangan untuk peranan semak dan imbang.
"Kita perlukan semak dan imbang," katanya.

