Penerbangan terus Indonesia, Langkawi akan galakkan pelancongan
Pengwujudan penerbangan terus dari beberapa destinasi di Indonesia dapat meningkatkan lagi jumlah pelancong dari negara itu ke Langkawi, kata Konsul-Jeneral Indonesia di Pulau Pinang Iwanshah Wibisono, di Langkawi.
Katanya minat dalam kalangan pelancong Indonesia untuk melawat pulau ini semakin meningkat dari setahun ke setahun berikutan promosi yang menarik dibuat tentang keunikan Langkawi.
Setakat ini, penerbangan terus dari Indonesia hanya melibatkan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang diusahakan oleh syarikat Air Asia dan City Link, anak syarikat Garuda Air.
“Kalau ada direct flight (penerbangan terus) ke Langkawi mungkin lebih suka lagi mereka (pelancong Indonesia untuk datang melancong),” katanya selepas menghadiri promosi makanan dari Bogor, Indonesia pada majlis berbuka puasa anjuran Adya Hotel Langkawi di Langkawi.
Beliau berkata hubungan sejarah yang panjang selain kedudukan sebagai negara berjiran menjadikan destinasi-destinasi pelancongan di Malaysia menjadi pilihan dalam kalangan rakyat Indonesia.
“Malaysia dianggap oleh rakyat Indonesia sebagai negara jiran yang mempunyai jumlah penduduk Islam yang besar dengan banyak persamaan dan mereka agak terbiasa dengan budayanya,” katanya.
Iwanshah berkata usaha Adya Hotel Langkawi menjalinkan kerjasama dengan Kumpulan Hotel Sahira di Indonesia baru-baru ini mampu menyemarakkan lagi keharmonian hubungan kedua-dua negara, khususnya dalam bidang perkongsian kepakaran kulinari dan pelancongan.
Kerjasama yang bermula sejak 2 Jun lepas apabila pihak Hotel Sahira yang bertaraf empat bintang berpangkalan di Bogor, Indonesia menempatkan dua pakar kulinari mereka di Adya Hotel Langkawi selama 10 hari bagi menyediakan masakan istimewa dari daerah berdekatan Jakarta ini.
Adya Hotel Langkawi pula akan menghantar dua pakar kulinari mereka ke Hotel Sahira pada Ogos ini untuk tujuan sama dan kerjasama ini dijangka dilebarkan lagi berikutan kedua-dua hotel sama-sama mengamalkan konsep operasi Islamik.
“Acara-acara kerjasama seperti ini mampu mengangkat (sektor pelancongan) Indonesia dan Malaysia kerana sektor pelancongan sekarang merupakan antara enjin pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara,” katanya.
- Bernama

