Lawatan kerja Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Jepun akan menghasilkan lebih banyak perkongsian strategik dengan pemimpin industri, kata sumber kepada Malaysiakini.

Sumber yang rapat dengan kerajaan berkata lawatan Mahathir adalah langkah pertama untuk menangani kebimbangan pelabur asing yang mungkin timbul akibat perubahan dalam kerajaan selepas pilihan raya umum baru-baru ini.

"Jemputan Perdana Menteri ke Persidangan Nikkei bukanlah sesuatu yang baru, tetapi kunjungan rasminya ke Jepun selepas menjadi Perdana Menteri, juga adalah langkah memperkenalkan 'Dasar Pandang Ke timur 2.0'.

"Kami menjangka lebih banyak perkongsian dengan negara-negara Asia Timur," kata sumber itu.

Mahathir tiba di Tokyo petang semalam bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-24 mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei selama dua hari bermula hari ini.

Selepas menyampaikan ucaptama pada persidangan tersebut, Mahathir dijadual bertemu pelbagai pemimpin industri dan perniagaan Jepun.

Sumber itu memberitahu Malaysiakini bahawa Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, yang dijadual bertemu Mahathir esok berkemungkinan akan membuat lawatan ke Malaysia tidak lama lagi.

Mahathir mula memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur pada 1980-an, semasa penggal pertamanya sebagai perdana menteri.

Dasar ini bertujuan menanamkan budaya dan etika kerja Jepun di kalangan rakyat Malaysia.

Perkongsian strategik dengan Jepun pada masa itu mendorong kerancakan perindustrian di Malaysia.