Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Terdapat begitu banyak 1MDB mini', kata Daim
Diterbitkan:  Jun 11, 2018 12:19 PM
Dikemaskini: 4:21 AM

Pentadbiran Pakatan Harapan menemui banyak kesilapan yang membabitkan agensi kerajaan dan GLC, kata Tun Daim Zainuddin, yang mengetuai Majlis Penasihat Kerajaan.

"Terdapat begitu banyak sekali 1MDB mini," katanya kepada Bloomberg.

"Saya terkejut dengan kehilangan (wang), saya masih mengumpul jumlah keseluruhannya, tetapi jumlah berkenaan adalah besar, jika kamu menjumlahkannya, ia besar, sangat besar."

Ketika ini, polis dan SPRM sibuk mempersiapkan pertuduhan terhadap urusan skandal 1MDB, manakala kementerian kewangan pula sedang meneliti apa yang dipanggil "fail merah" dan menemui banyak keputusan perniagaan yang meragukan oleh pentadbiran terdahulu.

Sebaliknya, Majlis Penasihat Kerajaan telah mengadakan puluhan mesyuarat dengan agensi-agensi kerajaan dan pengurus dana berkaitan kerajaan.

Daripada pertemuan-pertemuan itu, Daim mengenal-pasti jumlah penyalahgunaan yang berlaku.

"Mereka tidak faham bahawa mereka diletakkan dalam jawatan dengan penuh kepercayaan," kata Daim.

"Dan kamu perlu pastikan setiap sen yang dibelanjakan itu dibelanjakan dengan betul. Tidak seharusnya berlaku sebarang penyalahgunaan dan kamu mesti bertanggungjawab terhadap setiap sen."

Sejak sebulan kebelakangan ini, terdapat banyak peletakan jawatan oleh ketua beberapa agensi kerajaan dan GLC. Ketua sesetengah institusi seperti SPRM, Bank Negara, Perbendaharaan dan Jabatan Peguam Negara sama ada meletak jawatan atau dikeluarkan.

Sementara itu, Daim, yang juga adalah bekas menteri kewangan, berkata pentadbiran HARAPAN akan menyelesaikan masalah fiskal negara dengan membanteras rasuah dan mengatasi ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan.

Beliau berkata bahawa sistem perolehan atau pembelian negara akan lebih banyak dilaksanakan melalui sistem tender terbuka dan menggalakkan "personaliti politik" berundur daripada GLC.

Lihat Komen
ADS