Bicara kes saman Rahman Dahlan ke atas Rafizi bermula 3 Sept
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan tiga hari bermula 3 Sept untuk perbicaraan kes saman bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan terhadap Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah berhubung penganjuran Ekspo Negaraku 2017.
Hakim Datuk Mohd Zaki Abd Wahab menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Datuk M Reza Hassan mewakili Abdul Rahman.
M Reza ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menetapkan 3 hingga 5 Sept untuk perbicaraan dan 23 Julai ditetapkan untuk pengurusan kes.
Pada 30 Jan lalu, Abdul Rahman selaku plaintif menyaman Mohd Rafizi selepas mendakwa pada 10 Nov 2017, Mohd Rafizi melalui status di laman Facebook miliknya memaklumkan akan mengadakan sidang media bagi mendedahkan penyelewengan membabitkan seorang menteri.
Bekas Anggota Parlimen Kota Belud, Sabah itu mendakwa Mohd Rafizi mengadakan sidang media bertajuk ‘Skandal Baru Umno Menteri Mana Pula Yang Kena?”, yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook miliknya iaitu Rafizi Ramli @ rafiziramli.keadilan di pejabatnya di Sungai Besi, di Kuala Lumpuri pada 11 Dis 2017, dengan dihadiri wartawan dari pelbagai media.
Dakwanya, defendan dengan berniat jahat menerbitkan kenyataan fitnah itu yang merujuk kepadanya dan antara lain membawa maksud bahawa plaintif tidak jujur dan korup serta menuduhnya terbabit dengan transaksi yang mengelirukan.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk, teladan selain perintah injunksi supaya defendan melalui dirinya atau wakil dihalang daripada menerbitkan, mengeluarkan dan mencetak perkataan sama yang memfitnah plaintif.
- Bernama

