Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Vincent Tan kena fikir cara lain untuk lapangan terbang Tioman'
Diterbitkan:  Jun 11, 2018 2:42 PM
Dikemaskini: 6:45 AM

Tiada tempat sesuai untuk pembinaan kapal terbang untuk pesawat lebih besar di Pulau Tioman, Pahang, seperti dicadangkan taikun Tan Sri Vincent Tan, kata Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Pengarah urusannya Datuk Badlisham Ghazali berkata satu-satunya cara untuk menjayakan agenda itu adalah melalui penambakan laut, tetapi itu bukan pilihannya.

“Kalau penambakan ini yang kita tahu dulu ia akan menjejaskan alam sekitar.

“Jadi memang tak dapat kebenaran sebab ia akan merosakkan kecantikan (pulau peranginan itu),” katanya.

Justeru, katanya, teknik lain mungkin perlu diterokai jika mahu menjadikan idea itu satu kenyataan.

“Jadi mungkin ada cara baru teknik baru. Alhamdulillah,” katanya.

Kerajaan pusat bawah pentadbiran lama era BN telah menolak cadangan itu kerana bimbang ia menjelaskan alam sekitar.

Bagaimanapun, kerajaan BN Pahang pada 8 Jun lalu mengalu-alukan kesediaan pengerusi eksekutif Kumpulan Berjaya untuk membinanya dengan perbelanjaan sendiri.

Exco alam sekitar Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, bagaimanapun, kerajaan negeri perlu mendengar cadangan penuh daripada tokoh perniagaan terkenal itu sebelum memberi kata putus.

Pengasas konglomerat itu telah menyatakan kesediaan untuk membina lapangan terbang dengan perbelanjaan sendiri yang dianggarkan bernilai sekitar RM1.1 bilion hingga RM1.2 bilion.

Lapangan Terbang Kampung Tekek sedia ada hanya untuk kegunaan pesawat kecil kerana laluannya pendek tidak sampai satu kilometer.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS