Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta orang ramai bersabar sehingga mereka selesai menjalankan siasatan terhadap projek solar untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak selesai.

Suruhanjaya itu berkata mereka akan meneliti dokumen-dokumen yang telah "diambil" sama ada ia berunsur rasuah.

Dokumen-dokumen berkaitan telah “diambil” dari Kementerian Pendidikan mengikut lunas undang-undang mengikut Akta SPRM 2009 pada April 2018, kata badan itu.

Pemegang kontrak Jepak Holdings Sdn Bhd yang berpangkalan di Bintulu, Sarawak menafikan sebarang dakwaan salah laku.

Sambil menyifatkan kos sebenar cuma RM750 juta, pengarah urusan Saidi Abang Samsudin berkata mereka belum menerima bayaran dan ia juga lebih murah berbanding projek sama di Sabah.

Saidi mengakui menerima projek itu secara runding terus dengan kerajaan pusat lama era BN dan menegaskan ia kontrak yang sah.

Sarawak Report mendakwa pemberian kontrak itu diarahkan perdana menteri sebelum ini Datuk Seri Najib Razak dan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) dan proses perolehan Kementerian Pendidikan.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM juga menafikan laporan yang mendakwa mereka tidak mengambil sebarang tindakan terhadap projek itu yang dikatakan bernilaiRM1.25 bilion itu.

“Ingin dimaklumkan bahawa SPRM telah mengambil tindakan proaktif dengan menjalankan siasatan awal terhadap isu tersebut pada awal April 2018 iaitu sebelum pilihan raya umum ke-14 setelah menerima maklumat daripada orang awam,” katanya.