Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sri Ram: HARAPAN boleh hentikan undang-undang 'toksik' dalam satu akta
Diterbitkan:  Jun 11, 2018 3:07 PM
Dikemaskini: 7:26 AM

Peguam kanan Tan Sri Gopal Sri Ram berkata Pakatan Harapan (HARAPAN) boleh mempercepatkan janjinya untuk membatalkan atau meminda undang-undang yang tidak demokratik dengan hanya menggubal satu lagi undang-undang reformasi.

Mengulas kenyataan Penasihat Lawyers For LIberty, N Surendran hari ini yang menggesa Peguam Negara (AG) Tommy Thomas memulakan agenda pembaharuan undang-undang, Sri Ram berkata apa yang diperlukan ialah mewujudkan Akta Reformasi undang-Undang dan Pindaan 2018.

"Akta tersebut hanya perlu mengandungi dua bahagian substantif dan dua jadual.

"Dengan cara ini, Parlimen akan terhindar daripada mempertimbangkan undang-undang yang menyinggung," kata Sri Ram dalam satu kenyataan.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu berkata Akta tersebut boleh mempunyai satu bahagian yang berbunyi: "Akta-akta yang dinyatakan dalam jadual pertama adalah dengan ini dimansuhkan."

"Jadual Pertama akan mengandungi semua undang-undang toksik seperti Akta Hasutan, Akta Antiberita Tidak Benar dan sebagainya.

"Jadual Kedua boleh mengandungi seksyen undang-undang yang memerlukan pindaan, seperti seksyen dalam Akta Undang-undang Sivil yang menghalang pemberian ganti rugi teladan," katanya.

Beliau berkata kerajaan BN sebelumnya telah menggunakan undang-undang itu untuk menafikan keluarga mangsa kematian dalam tahanan menerima ganti rugi teladan.

Sri Ram berkata undang-undang lain yang perlu dipinda termasuk seksyen dalam Akta Prosiding Kerajaan dan Akta Bantuan Khusus yang "tidak berpelembagaan".

Idea Sri Ram selari pendapat Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, yang membuat cadangan serupa pada pilihan raya umum ke-14 dengan menggesa HARAPAN mewujudkan 'Akta pemansuhan besar' yang akan memansuhkan pelbagai undang-undang dalam satu dokumen seperti Akta Antiberita Palsu dan Akta Hasutan sekiranya HARAPAN memenangi pilihan raya.

Surendran dalam satu kenyataan hari ini menggesa Thomas menjadikan reformasi undang-undang sebagai keutamaannya.

Lihat Komen
ADS