Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Kontrak solar Sarawak 'lebih RM1 bilion'
Diterbitkan:  Jun 11, 2018 3:21 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Menteri Pendidikan Maszlee Malik mengesahkan Jepak Holdings Sdn Bhd diberikan kontrak solar hibrid untuk sekolah di Sarawak bernilai “lebih RM1 bilion” tanpa tender terbuka.

Ini bertentangan dengan penjelasan Jepak bahawa nilai tendernya cuma berjumlah RM750 juta.

“Kenapakah sebuah syarikat bernama Jepak ini diberi monopoli yang sebegitu besar, berjumlah melebihi satu bilion ringgit tanpa melalui proses tender terbuka?” soal Maszlee.

Pemimpin BERSATU itu juga berkata nilai itu “amat besar”.

Jepak melalui kenyataannya berkata kos RM1.2 bilion adalah kos keseluruhan projek termasuk penyelenggaraan dan bekalan diesel.

Menurut Jepak, kos RM1.2 bilion itu kos keseluruhan projek termasuk penyelenggaraan dan bekalan diesel.

Sementara itu, Maszlee juga berkata mendapat tahu “kepincangan” dalam projek itu pada awal minggu lepas, sebelum berita berkaitannya tersebar.

“Saya telah serta-merta mengarahkan pegawai untuk menyiasat dan memberi taklimat penuh kepada saya.

“Saya dimaklumkan bahawa terdapat beberapa masalah di sekitar isu pemberian kontrak ini dan wujud isu ketidakpatuhan terhadap tatacara perolehan yang serius dalam projek ini,” katanya.

Pengarah urusan Jepak Saidi Abang Samsudin dalam kenyataannya berkata belum menerima bayarannya dan mempertahankan kontrak runding terus itu sah.

Sementara itu, Maszlee juga mendakwa terdapat beberapa orang pegawai kementerian yang cuba “memperbetulkan keadaan” namun nasihat mereka tidak dipedulikan.

Katanya, projek itu turut gagal memenuhi jadual siap 51 peratus pada 15 Mei lalu.

Latar belakang syarikat

Berkaitan latar belakang projek, Maszlee berkata Jepak asalnya salah sebuah syarikat yang membekalkan diesel untuk genset di 369 buah sekolah di Sarawak secara kontrak.

“Tetapi mulai 1 Januari 2017, kontrak diberikan kepada Jepak Holding Sdn Bhd untuk membekalkan sistem hibrid solar dan diesel kepada semua 369 buah sekolah itu.

“Asalnya, Jepak hanyalah salah satu daripada kontraktor sahaja. Tetapi melalui kontrak ini mereka membekalkan elektrik kepada semua 369 sekolah,” katanya.

Tempoh projek, katanya, selama tiga tahun dari 1 Januari 2017 hingga 31 Disember 2019.

Sementara itu, Maszlee juga berkata beliau telah mengarahkan pegawainya memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengheret pihak yang bersalah ke muka pengadilan.

Beliau juga mendedahkan telah mengadakan siasatan dalaman untuk mengenalpasti pesalah dan mekanisme supaya perkara itu tidak berulang.

Lihat Komen
ADS