Dr M: Bersahabat dengan China tapi takkan terlalu bergantung
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia yang diterajunya akan terus mengekalkan hubungan mesra dengan China, tetapi akan meninjau semula perjanjian pembiayaan antara kedua-dua negara.
Pada sidang media di Kelab Wartawan Nasional di Tokyo hari ini, Mahathir berkata negara terpaksa mengurangkan pinjaman dari China dan mewujudkan semula hubungan sebagai rakan perdagangan.
"Malaysia, khususnya, mempunyai pemimpin yang pada masa itu cintakan projek-projek besar dan pinjaman besar, pinjaman yang tidak dapat kami bayar. Itulah cara beliau untuk menjalinkan persahabatan dengan China.
"Kami tetap bersahabat dengan China tetapi kami tidak mahu berhutang dengan China, jadi kami terpaksa mencari cara dan jalan untuk mengurangkan pinjaman dan mewujudkan hubungan lama dengan China sebagai rakan dagangan yang baik," katanya.
Mengenai Inisiatif Jalur dan Jalan oleh China, Mahathir berkata bahawa Malaysia adalah sebuah negara kecil dan China sebagai kuasa utama, akan tetap meneruskan rancangannya sama ada dengan atau tanpa bantahan Malaysia.
"Apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah (menentukan) bagaimana untuk menggunakan dasar China yang cuba membina jalur dan jalan darat serta laluan laut ke Barat.
"Kami akan cuba memastikan ia bukan eksklusif, bahawa orang lain juga boleh menggunakan laluan sama."
Mahathir agak lantang membidas cara pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang begitu komited dengan pinjaman besar dari China bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur Malaysia, yang kebanyakannya menurut beliau dan ramai pakar sebagai tidak berdaya maju.
Projek-projek berkenaan termasuk Link Laluan Pantai Timur (ECRL) dan Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura. Kedua-dua projek itu sedang dikaji semula kerana pembatalannya mungkin menyaksikan negara terpaksa menanggungkan denda atau penalti yang berat.
China pernah menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia selama sembilan tahun lalu, tetapi pakar dasar luar percaya bahawa Dr Mahathir mungkin menggunakan lawatannya ke Jepun untuk meningkatkan pelaburan asing dan mengurangkan kebergantungan negara kepada China.

