Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'PAS gila kuasa cadang k'jaan perpaduan Kedah'

Pengerusi Amanah Kedah Datuk Dr Ismail Salleh menggesa PAS menghentikan polemik politik berhubung isu pemilihan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang belum selesai sehingga kini.

Beliau berkata tindakan PAS itu menunjukkan sikap sebenar parti tersebut yang tidak mahu memahami kehendak rakyat selain ingin merampas kuasa dengan cara yang tidak betul.

"Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, rakyat telah memilih dan memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) dengan 18 kerusi, PAS 15 kerusi dan Barisan Nasional (BN) dengan tiga kerusi. Jelas di sini, rakyat telah membuat keputusan jadi mereka (PAS) perlu hormat.

"PAS menunjukkan sifat sebenar mereka yang gila kuasa untuk memerintah di Kedah dengan mencadangkan sebuah kerajaan perpaduan diwujudkan namun cadangan itu telah ditolak oleh HARAPAN Kedah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menjangkakan kemenangan PAS sekiranya pilihan raya negeri (PRN) benar-benar diadakan di negeri itu susulan isu pelantikan speaker DUN yang belum ada kata putus sehingga kini.

'Minta jawatan speaker DUN'

Ismail yang juga wakil rakyat Pengkalan Kundor berkata selepas cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan tersebut ditolak oleh HARAPAN Kedah, PAS tidak berputus asa dan menzahirkan sifat tamak dengan meminta supaya jawatan speaker DUN diberikan kepada mereka.

"Cadangan mereka itu tidak logik dan tiada asas untuk diterima dan sebab itu HARAPAN sekali lagi menolak cadangan tersebut. Mereka turut menamakan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Fakhrudin Fakhrurazi sebagai bakal speaker.

"Bila ditolak, dengan nada ugutan mereka kata akan berlaku PRN apabila pemilihan speaker nanti berakhir dengan undian sebanyak 18/18 kerana PAS mengharapkan BN menyokong mereka dan memberi tiga undi tersebut," katanya.

Ismail berpandangan buat masa sekarang tiada siapa yang mahukan PRN, justeru PAS perlu mengetepikan rasa ego dan tamak mereka dalam tempoh lima tahun ini dan berusaha menjadi pembangkang yang konstruktif serta memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS