Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak layak bertanding: Tian Chua kemuka representasi kepada AG

Naib presiden PKR Tian Chua, yang tidak dapat bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini, akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung status sama ada beliau layak menjadi calon pada pilihan raya akan datang.

Kertas pencalonan bekas Anggota Parlimen Batu itu ditolak Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) pada 28 April tahun ini berikutan denda sebanyak RM2,000 yang dikenakan terhadapnya dalam satu kes mahkamah pada 2017.

Peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, yang mewakili Tian Chua, memberitahu panel tiga anggota Mahkamah Rayuan hari ini bahawa beliau akan menulis surat kepada peguam negara baharu, Tommy Thomas, bagi mendapatkan penjelasan sama ada seseorang Anggota Parlimen akan hilang kelayakan untuk bertanding pada pilihan raya setelah dikenakan denda RM2,000 mengikut Perkara 28 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan.

Susulan itu, Gurdial memohon agar pendengaran rayuan itu ditangguh sementara menunggu representasi berkenaan dikemukakan.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh mewakili Anwar Mohd Zain, manakala Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membantahnya.

Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim yang mempengerusikan panel berkenaan, membenarkan penangguhan itu.

Beliau juga berkata permohonan Tian Chua untuk meminda saman pemula dan rayuannya, akan dikendalikan panel Mahkamah Rayuan pada tarikh seterusnya.

Dua hakim lain yang menganggotai panel itu ialah Datuk P. Nalini dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Pada 4 Mei, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak tindakan undang-undang yang difailkan Tian Chua bagi mencabar keputusan SPR menolak kertas pencalonannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Batu pada PRU14 dan susulan itu, beliau mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nordin Hassan memutuskan bahawa mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara berkenaan atau menentukan tentang kesahan keputusan Pegawai Pengurus Pilihan Raya berkenaan menolak kertas pencalonan Tian Chua.

Nordin membenarkan bantahan awal SPR dan memutuskan bahawa perkara ditimbulkan Tian Chua itu merupakan pertikaian berkaitan pilihan raya dan oleh itu beliau perlu memfailkan petisyen pilihan raya, bukan saman pemula.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya berkenaan menolak kertas pencalonan Tian Chua berasaskan denda RM2,000 dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, yang pada 2 Mac tahun ini, membenarkan rayuannya terhadap hukuman itu kerana mengaibkan seorang pegawai polis.

Tian Chua, yang nama sebenarnya Chua Tian Chang, 54, didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 2014 bagi kesalahan itu.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Gurdial berkata terdapat tiga keputusan mahkamah, termasuk satu keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyebut bahawa seseorang itu masih layak bertanding pada pilihan raya, walaupun pernah dikenakan denda RM2,000. -Bernama

Lihat Komen
ADS