Pukul anak dengan penyangkut baju, suami isteri didenda RM2,000
Sepasang suami isteri masing-masing didenda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang hari ini kerana mencederakan anak lelaki berusia sembilan tahun dengan menggunakan penyangkut baju, Januari lepas.
Hakim Syafeera Mohd Said menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Syazreen Zulkeple, 26, dan Nurul Izwana Ibrahim, 29, selepas pasangan itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mohamad Syazreen, pencuci kereta dan isterinya Nurul Izwana, suri rumah didakwa dengan niat bersama mencederakan kanak-kanak itu yang merupakan anak tiri Mohamad Syazreen di sebuah premis di Kampung Sahabat, Gombak, di Kuala Lumpur pukul 1.51 tengah hari, pada 27 Jan 2018.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua mereka menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda. Mohamad Syazreen dan Nurul Izwana membayar denda tersebut.
Terdahulu, kedua-dua mereka yang diwakili peguam Mohd Jamil Yaacob memohon hukuman denda dengan alasan Mohamad Syazreen menanggung isterinya yang sedang mengandung tiga bulan serta dua lagi anak mereka termasuk mangsa.
"Mangsa masih di bawah jagaan kedua-dua tertuduh. Mereka juga menyesal dengan perbuatan mereka dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu. Ia adalah kesalahan pertama mereka," kata peguam itu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin memohon hukuman berbentuk pengajaran kepada kedua-dua tertuduh dengan alasan sebagai ibu bapa mereka perlu tahu bagaimana untuk mendidik anak.
Menjawab soalan hakim mengenai anaknya, Mohamad Syazreen berkata dia tidak lagi memukul anak lelakinya itu manakala Nurul Izwana pula memohon maaf atas perbuatannya. -Bernama

