Pengendali restoran makanan segera tempatan, Marrybrown Sdn Bhd (Marrybrown) hari ini menyumbangkan RM200,000 kepada Tabung Harapan Malaysia.
Pengerusinya Datuk Lawrence Liew berkata sebagai sebuah organisasi korporat yang prihatin, Marrybrown turut terpanggil untuk membantu serta meningkatkan kebajikan negara.
"Kami sungguh berbesar hati kerana dapat menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia, ini merupakan sumbangan kami kepada negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat.
"Kami juga berharap lebih banyak pertubuhan akan berganding bahu membantu membina semula negara kita yang tercinta ini," katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa dan penyerahan sumbangan cek kepada Tabung Harapan Malaysia di ibu pejabat Marrybrown, di Johor Bahru, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan Marrybrown Sdn Bhd Datuk Nancy Liew dan Anggota Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon.
Liew berkata dana RM200,000 itu dikumpul atas usaha dan sumbangan kakitangan serta francais Marrybrown seluruh negara.
- Bernama
