Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMANAH Kedah keanak-anakan, kata PAS
Diterbitkan:  Jun 11, 2018 11:28 PM
Dikemaskini: 3:32 PM

PAS menafikan dakwaan AMANAH bahawa parti itu 'gila kuasa' dengan mendesak supaya diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) ataupun dibentuk kerajaan perpaduan di negeri Jelapang Padi itu, kata Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi.

"Adalah tidak adil meletakkan tekanan kepada PAS dalam isu pemilihan Speaker DUN kerana PAS telah mengemukakan jalan keluar dengan menawarkan penubuhan kerajaan perpaduan dimana konsep kerajaan sebegini bukanlah sesuatu yang baru dalam amalan demokrasi, bahkan kaedah ini telahpun diamalkan di beberapa buah negara Eropah.

"Tuduhan melulu kononnya PAS gila kuasa mendesak agar berlakunya Pilihanraya Negeri(PRN) tidak berasas sama sekali kerana samada berlaku PRN atau sebaliknya bergantung kepada nasihat dan budi bicara Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kepada Tunku Sultan Kedah," kata Ahmad dalam suatu kenyataan.

Sebaliknya, beliau membidas Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh kerana mengeluarkan kenyataan bersifat spekulasi dan keanak-anakan.

Berbaur emosi, tak faham isu

"Kenyataan Pengerusi AMANAH Kedah, dilihat lebih bersifat spekulasi dan keanak-anakan serta memperlihatkan beliau sebenarnya tidak memahami akan isu perlantikan Speaker DUN Kedah.

"PAS Kedah melihat kenyataan itu lebih kepada berbaur emosi malah jauh sekali bersifat matang dan terbuka," kata Ahmad.

Petang tadi, Ismail Salleh menggesa PAS menghentikan polemik politik berhubung isu pemilihan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang belum selesai sehingga kini.

"PAS menunjukkan sifat sebenar mereka yang gila kuasa untuk memerintah di Kedah dengan mencadangkan sebuah kerajaan perpaduan diwujudkan namun cadangan itu telah ditolak oleh HARAPAN Kedah," kata Ismail.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man melontarkan idea kerajaan perpaduan ini pada 9 Jun 2018 lalu.

"PAS menawarkan jalan keluar iaitu mewujudkan Kerajaan Perpaduan yang bertujuan untuk mengelak PRN daripada berlaku.

“Ini adalah jalan keluar yang terbaik jika menghadapi situasi sebegini," katanya.

Lihat Komen
ADS