Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Putrajaya pertimbang campurtangan saman Petronas pada Sarawak'
Diterbitkan:  Jun 11, 2018 11:45 PM
Dikemaskini: 3:50 PM

Putrajaya sedang mempertimbangkan untuk campur tangan dalam saman Petronas terhadap Kerajaan Sarawak berhubung keputusan kerajaan negeri untuk mengambil alih hak petroleum di negeri ini melalui Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

Pejabat Ketua Menteri Sarawak, dalam satu kenyataan, berkata ia dimaklumkan tentang penangguhan saman tersebut sementara menunggu keputusan Pejabat Peguam Negara mengenai keperluan kerajaan persekutuan harus campur tangan.

"Mahkamah Persekutuan telah menyetujui permintaan oleh peguam persekutuan untuk menangguhkan pendengaran bagi membolehkan beliau mempertimbangkan sama ada kerajaan persekutuan perlu campur tangan dalam kes ini atau tidak.

"Agak menghairankan Petronas yang membuat permohonan itu dan meminta pendengaran segera, tidak pula membuat bantahan terhadap penangguhan pendengaran kes itu," katanya.

Petronas memohon Mahkamah Persekutuan membenarkan untuk memulakan prosiding terhadap kerajaan Sarawak, yang mana pendengaran itu sepatutnya berlangsung esok, sebelum dilanjutkan pada 21 Jun ini.

Petronas mahukan perisytiharan daripada Mahkamah Persekutuan syarikat petroleum negara itu merupakan pemilik eksklusif sumber petroleum dan pengatur industrinya di seluruh Malaysia, termasuk di Sarawak.

Syarikat petroleum negara itu juga memohon pengisytiharan Akta Pembangunan Petroleum 1974 adalah undang-undang utama yang mengawal industri berkenaan.

Pejabat Ketua Menteri Sarawak berkata ia kecewa dengan penangguhan kes itu.

"Kerajaan negeri tidak akan membenarkan Petronas untuk tidak menghormati dan mengabaikan hak kami untuk mengawal selia aktiviti huluan di bawah undang-undang kita seperti Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak dan Kanun Tanah," katanya.

Lihat Komen
ADS