Keprihatinan Agong suntik semangat rakyat, kata Lim
Tindakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V yang bertitah perkenan agar peruntukan gaji dan emolumen baginda dikurangkan sebanyak 10 peratus menyuntik semangat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng serta rakyat dalam bersungguh-sungguh mengurangkan beban hutang kerajaan persekutuan.
Lim dalam satu kenyataan berkata, dalam kepincangan negara dirundung beban hutang sebanyak RM1,087 bilion, beliau menjunjung kasih dan percaya limpah kurnia serta keprihatinan baginda itu disanjung tinggi rakyat.
“Kementerian Kewangan dengan ini merafak sembah dan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana perkenan limpah kurnia bagi memotong 10 peratus gaji serta emolumen baginda sepanjang pemerintahan selaku Yang di-Pertuan Agong sehingga 2021.
“Ini sebagai sumbangan baginda mengurangkan hutang kerajaan persekutuan sebanyak RM1,087 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz berkata Seri Paduka mengambil langkah berkenaan kerana amat prihatin tentang tahap hutang dan keadaan ekonomi negara serta mahu bersama-sama rakyat menunaikan tanggungjawab terhadap negara.
Seri Paduka juga bertitah untuk tidak mengadakan sambutan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini di Istana Negara.
Ritah baginda, anggaran peruntukan kewangan untuk Majlis Rumah terbuka tersebut sepatutnya digunakan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.

