Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menafikan dakwaan menerima RM1.3 bilion sebagai habuan susulan "naungan baginda" terhadap sebuah syarikat China seperti yang tersebar dalam media sosial.

Tengku Abdullah juga bertitah baginda tidak mempunyai kaitan dengan China Rainbow International Investment Co.Ltd (CRIIC), syarikat yang didakwa membuat pembayaran itu.

"Saya tiada kaitan dengan syarikat China itu. Syarikat China itu sudah pun menjawab.

"Saya tidak mahu komen (lanjut)," titah baginda dalam satu WhatApps, melalui pegawai media baginda yang dipetik oleh Bernama hari ini.

Dua hari lalu, sepucuk surat dengan logo China Rainbow International Investment Co Ltd (CRIIC) tersebar di media sosial, menyatakan syarikat itu menjanjikan habuan berkenaan kepada pemangku Raja Pahang itu untuk mendapatkan kontrak bagi projek MRT3.

Surat bertarikh 8 Februari 2018 itu ditandatangani presiden Global & Pasifik CRIIC Will JW Ding, mendakwa sebuah konsortium bernama Sapura-Rainbow Consortium akan membuat bayaran itu.

Semalam, Pengerusi dan Presiden CRIIC Li Dacan menafikan kandungan dalam surat itu dan berkata konsortium itu tidak wujud.

"Surat yang didakwa itu adalah direka-reka. CRIIC tidak pernah mengeluarkan surat seperti itu. Kandungannya benar-benar palsu dan tidak wujud Sapura-China Rainbow Consortium," menurut Li.

Beliau juga menyebut CRIIC sedang mendapatkan nasihat undang-undang dan berhak menuntut keadilan bagi mendapat remedi sivil dan jenayah terhadap pelaku tindakan yang berniat jahat itu.