Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Saya akan tanya, tanya dan tanya kerajaan dalam parlimen'
Diterbitkan:  Jun 12, 2018 3:54 PM
Dikemaskini: 9:19 AM

Kempen menjelang pemilihan Umno hujung bulan ini semakin terasa dengan kempen bakal-bakal calon.

Bagi calon ketua Pemuda pergerakan itu Mohd Shahar Abdullah, beliau mahu menggunakan kelebihannya sebagai anggota parlimen untuk menjadi suara semak dan imbang terhadap kerajaan sedia ada di parlimen.

"Saya mahu bertanya kepada ketua pemuda di kalangan parti pemerintah di Dewan Rakyat - apa sudah jadi kepada harapan yang diberikan kepada golongan muda di bawah 40 tahun?

“Dan saya akan ulang soalan tersebut sehingga mereka laksanakannya," kata ketua pemuda Umno Pahang itu.

Sidang Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen Ke-14 dijadual bermula pada 16 Julai depan.

Mohd Sahar akan bersaing bagi menggantikan penyandang Khairy Jamaluddin yang akan bertanding di peringkat lebih tinggi, iaitu naib presiden.

Beliau dijangka berdepan Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun, bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Bekas pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Lokman Noor Adam turut disebut-sebut mahu menawarkan diri bertanding merebut jawatan tersebut.

Bagaimanapun, hanya Shahar mempunyai kelebihan sebagai anggota Dewan Rakyat.

Beliau menang di parlimen Paya Besar dalam pilihan raya umum lalu menewaskan calon PAS dan PKR.

Sementara itu, dalam tulisan di Facebook, Shahar juga berkata akan menggunakan pengalaman selaku pemimpin pelajar untuk menggemblengkan usaha memikat hati pengundi muda dan membuatkan mereka “menyesal” mengundi Pakatan Harapan.

"Mereka harus disedarkan dari lamunan bahawa HARAPAN mampu membela nasib mereka dan hanya Umno serta BN yang telah berubah ada berpengalaman dalam membangunkan negara secara realitinya,” katanya.

Lihat Komen
ADS