Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno Selangor tak kata sokong Ku Li
Diterbitkan:  Jun 12, 2018 4:47 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Ketua Pemuda Umno Selangor Zainuri Zakaria berkata tidak wajar mana-mana pihak mengehadkan hanya calon tertentu menyertai pertandingan jawatan tertinggi dalam parti.

Sebaliknya kata Zainuri amalan bertanding sesuatu jawatan wajar digalakkan supaya demokrasi pada parti berkenaan dapat disuburkan.

Menafikan bertanggungjawab mendesak Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, supaya memasuki gelanggang perebutan jawatan presiden parti itu pada pemilihan kali ini Zainuri berkata, gesaan itu - jika ada - bukanlah pendirian rasmi Pemuda Umno Selangor.

Zainuri sebaliknya mahu pentas pertandingan untuk semua jawatan presiden, timbalan presiden hingga majlis tertinggi dibuka seluas-luasnya.

"Desakan supaya Tengku Razaleigh bertanding jawatan presiden bukan pendirian atau gerakan dalaman didalangi Pemuda Umno Selangor.

"Usah kita ikut acuan orang kerana soalnya sekarang adalah proses demokrasi dalam Umno perlu disuburkan dengan membuka peluang kepada sesiapa yang mahu berkhidmat kepada parti tanpa berdepan sebarang sekatan," katanya seperti dilaporkan BH Online.

Sebelum ini kedengaran suara-suara Pemuda Umno yang mahukan Tengku Razaleigh menjadi presiden.

Antara yang menyokong Tengku Razaleigh ialah Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii mencadangkan agar ahli politik veteran itu sesuai bertanding jawatan presiden parti.

Usah jadi pencatur

Selain itu Razlan juga mencadangkan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

"Kita harapkan ada satu wajah pembaharuan. Buat masa ini kita lihat Tengku Razaleigh merupakan tokoh yang boleh kita ketengahkan untuk mengetuai parti.

"Saya merayu Tengku Razaleigh untuk mempertimbangkan bertanding sebagai presiden parti," kata Razlan.

Selain Razlan, Utusan Malaysia melaporkan akar umbi negeri Kelantan terdiri daripada anak muda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, ADUN Paloh, Amran Arifin dan Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kelantan, Norfadzlete Aryani Mat Rosli juga mahukan Tengku Razaleigh kerana dilihat sebagai seorang tokoh yang dihormati serta mempunyai kemampuan dan rekod baik.

Zainuri turut berkata Umno perlu insaf bahawa parti dalam keadaan yang sangat getir dan fokus utama adalah membangkitkan semula pertubuhan itu dengan mengutamakan penyatuan dalaman.

"Bukannya ada gerakan untuk memihak satu pihak yang lain atau mewakili suara calon tertentu untuk merebut jawatan peringkat tertinggi.

"Jadi bagi pemimpin-pemimpin muda terutama dalam exco Pemuda dan Puteri, jangan cuba hendak menjadi pencatur sehingga memecah-belahkan parti,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Katanya lagi, ahli dan kepimpinan Umno pelbagai peringkat pasti tidak rela melihat barisan muda terlalu bercita-cita besar sedangkan di peringkat lapisan kepimpinan perlu melihat lebih mendalam bagaimana untuk melahirkan pemimpin muda yang bersedia mendepani cabaran untuk 30 tahun mendatang.

"Belajarlah daripada pemimpin berpengalaman sebagai panduan dan iktibar untuk mempersiapkan diri masing-masing untuk membantu Umno yang kini dalam keadaan perit serta penuh mencabar.

"Ayuh! bangunkan dan bangkitlah Umno,” katanya.

Zainuri turut berkata kepimpinan muda Umno tidak perlu membuat nama calon yang perlu diketengahkan.

Katanya, jika Tengku Razaleigh sendiri menyatakan tidak mahu bertanding dan mahu melihat parti bersatu, jangan diasak veteran Umno itu sehingga boleh mengakibatkan perbalahan dan perpecahan.

"Jangan membebankan parti lagi kerana ketika ini, kita sudah mempunyai nakhoda yang diberikan amanah untuk memikul tugas-tugas presiden parti iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Bantulah beliau kerana nakhoda baharu kita ini amat memerlukan sokongan yang kuat dari akar umbi apatah lagi dalam keadaan sekarang," katanya.

Lihat Komen
ADS