Nota editor: Versi terdahulu artikel ini menyatakan Kementerian Pengangkutan telah membayar RM808,629 kepada sebuah "firma PR". Artikel ini telah dikemas kini dengan membuat pembetulan. Kesilapan yang berlaku adalah amat dikesali.

KEMASKINI | Kementerian Pengangkutan memperuntukkan RM808,629 kepada sebuah firma perhubungan awam, di mana skopnya termasuk menghasilkan kolum mingguan dalam sebuah akhbar.

Menteri Pengangkutan yang baru, Anthony Loke berkata, kementeriannya memaklumkan mengenai kontrak tujuh bulan yang berakhir pada akhir Julai lalu yang dikenali sebagai "program komunikasi kementerian".

"Kementerian dilihat tidak jelas dengan apa yang dimaksudkan dengan 'komunikasi kementerian' tetapi difahami bahawa skopnya termasuk penulisan dalam kolum mingguan," kata Loke semasa sidang akhbar.

Loke berkata beliau telah membatalkan kontrak itu kerana tiada keperluan bagi sebuah firma perhubungan awam menguruskan imej menteri.

"Saya boleh berkomunikasi secara langsung dengan akhbar. Tidak perlu untuk sebuah firma PR.

"Ini adalah contoh perkara yang tidak perlu yang dibelanjakan oleh kerajaan sebelumnya," katanya, sambil mengesahkan tiada bayaran dibuat walaupun kementerian telah memperuntukkan jumlah tersebut.

Tiada bayaran dibuat

Pada petang ini, jurucakap Liow, Lim Chau Leng berkata satu-satunya perkara yang betul disebut oleh Loke adalah tidak ada bayaran dibuat kerana tiada perkhidmatan seumpama itu diberikan.

Lim berkata firma PR" yang disebut oleh Loke sebenarnya adalah Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) yang tidak berfungsi.

Beliau berkata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini telah mengarahkan setiap kementerian melaporkan KPI masing-masing kepada umum dan PEMANDU dilantik oleh Kementerian Pengangkutan untuk menjalankan tugasnya.

"Kolum dalam The Star, seperti yang disebut oleh Loke, sepatutnya muncul dua kali seminggu. Tapi ini adalah satu amalan perhubungan awam yang bukan bermaksud untuk publisiti peribadi," katanya.

Lim berkata masa tidak mencukupi untuk melaksanakan strategi penglibatan KPI dan pelan itu kemudian ditinggalkan.

"Bukan kerana PEMANDU gagal memberikan perkhidmatannya, malah Loke sendiri mengakui PEMANDU tidak mengenakan bayaran kepada kerajaan," kata Lim.

Lim juga menggesa Loke memberi tumpuan 100 peratus kepada dasar kerajaan dan bukan cuba mencari keuntungan politik dengan mengkritik bekas menteri pengangkutan berkenaan.