Berita Malaysiakini

Bukti didakwa skandal RM300 juta HRDF diserah pada SPRM

Bernama  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Bukti penyelewengan yang dikaitkan dengan dana RM300 juta milik Tabung Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRDF) diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SG Education Group Datuk Sri Ganes berkata beliau tampil menyerahkan bukti terlibat agar SPRM dapat menjalankan siasatan segera dan sekali gus dapat menjelaskan situasi sebenar dakwaan itu.

Ketika ditemui media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini selepas menyerahkan bukti berkenaan, beliau berkata siasatan perlu diteruskan bagi mengenal pasti pihak terlibat walaupun seorang pengurusan tertinggi HRDF dan seorang ahli lembaga pengarahnya telah meletakkan jawatan baru-baru ini.

Sementara itu, seorang bekas ahli lembaga HRDF ( R.Thiagaraja) mengganggu sidang media tersebut serta menafikan terlibat dalam penyelewengan itu dan mengalu-alukan SPRM untuk menjalankan siasatan rapi.

Pada 1 Jun lepas, satu laporan dibuat oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan, M. Satees dan Anggota Majlis Perbandaran Seberang Prai, David Marshal di pejabat SPRM Butterworth, Pulau Pinang berhubung penyelewengan dana HRDF terlibat.

Mereka mendakwa wujudnya penyelewengan dana RM300 juta didalangi pengurusan tertinggi HRDF.

HRDF merupakan badan yang diberi peranan kerajaan sebagai pengurusan dana pembangunan sumber manusia dan menyediakan latihan tenaga kerja di negara ini.

Sementara itu, Thiagaraja, Persekutuan Penyedia Latihan Malaysia dan Persatuan TVET (FMTA), berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ganes dan mereka yang terus menimbulkan tuduhan fitnah dan berniat jahat terhadapnya.

Dia menyifatkan serangan baru-baru ini ke atasnya oleh Ganes sebagai tidak berasas kerana tidak mempunyai sebarang bahan bukti.

"Untuk rekod, tiada pembiayaan atau peruntukan dari HRDF diterima sehingga kini oleh FMTA atau disalurkan kepada FMTA. Untuk rekod, terdapat penyedia latihan lain dari pelbagai persatuan yang juga merupakan sebahagian daripada lembaga. Oleh itu, kami percaya bahawa ini adalah serangan peribadi, "katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Thiagaraja juga berkata beliau telah mengemukakan peletakan jawatannya sebagai anggota lembaga pengarah HRDF pada 8 Jun 2018 yang kini menunggu keputusan Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran untuk menerima atau menolak, dan melakukan siasatan yang adil dan menyeluruh.

- Bernama