Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ka Siong harap saman Chin Tong buktikan dirinya tak salah
Diterbitkan:  Jun 12, 2018 9:20 PM
Dikemaskini: 1:24 PM

Timbalan presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berkata beliau menghormati keputusan calon pilihan raya dari DAP, Liew Chin Tong memfailkan petisyen untuk mencabar keputusan di kerusi parlimen Ayer Hitam.

Peguam Chin Tong, Yeo Yang Poh memfailkan petisyen itu bagi pihak anak guamnya di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pagi ini.

Menerusi Facebook pada petang ini dengan slogan #truthwillprevail, Wee berkata beliau akan mempertahankan dirinya di mahkamah mengikut proses undang-undang.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga mengimbas apa yang berlaku pada malam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu.

"Pada malam 9 Mei, Chin Tong menelefon saya untuk mengakui kekalahan dan mengucapkan tahniah kepada saya. Saya katakan kepadanya bahawa saya tak boleh gembira kerana ramai rakan saya dalam BN dan MCA telah kalah.

"Saya harap saman ini akan membuktikan saya tidak bersalah," katanya.

Berhubung asas saman yang difailkan kepadanya, Wee berkata beliau dan peguamnya hanya boleh bertindak balas setelah menerima dokumen berkenaan.

Liew tewas kepada Wee dengan majoriti tipis sebanyak 303 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa keputusan pilihan raya itu telah diwartakan pada 28 Mei.

Calon yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya dibenarkan memfailkan petisyen dalam tempoh 21 hari, yang bermaksud hari terakhir untuk berbuat demikian adalah pada 18 Jun depan.

Sementara itu, peguam Liew berkata anak guamnya menamakan Wee sebagai responden pertama, pegawai pengurus pilihan raya, Mohd Hafiz Aliman sebagai responden kedua dan SPR selaku responden ketiga.

Yeo berkata beliau dan Liew mendapati terdapat alasan yang mencukupi untuk memfailkan petisyen itu dan ada beberapa peraturan dan undang-undang telah dilanggar semasa tempoh berkempen.

"Tumpuan lebih kepada pelaksanaan pilihan raya sepanjang tempoh kempen dan bukan hanya apa yang terjadi pada hari mengundi," katanya.

Lihat Komen
ADS