Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan Dr Azahari Husin, yang terbunuh Rabu lepas dalam serangan pihak berkuasa Indonesia terhadap puak militan, memilih jalan yang membawa kehancuran dan kerugian kepada dirinya sendiri.

Perdana Menteri berkata Dr Azahari sebelum ini merupakan seorang pensyarah yang baik.

"Beliau ialah seorang ahli akademik yang bermutu tinggi tetapi memilih satu jalan yang membawa kemusnahan akhirnya kepada dirinya," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Abdullah berkata, sememangnya jalan keganasan tidak boleh dijadikan jalan ikutan, lebih-lebih lagi kerana ia merupakan perkara yang tidak disukai Tuhan.

Dr Azahari, 48, dikatakan menjadi dalang utama beberapa serangan maut di Indonesia sejak 2002, antaranya serangan bom di Bali pada tahun itu yang mengorbankan 202 orang dan terbaru, juga di pulau peranginan itu, bulan lepas.

Pakar bom rakyat Malaysia itu dilaporkan terbunuh bersama seorang rakan pengganas ketika pasukan keselamatan menyerbu rumah sewanya di Kota Batu, Malang di Jawa Timur.

Polis Indonesia juga dikatakan menjumpai dokumen rahsia dan video berhubung rancangan kumpulan itu untuk melancarkan beberapa lagi serangan bom di republik itu.

Anggota keluarga Dr Azahari kini berada di Indonesia untuk menguruskan penghantaran pulang jenazahnya ke negara ini.

Pada perhimpunan itu, Abdullah membacakan beberapa ayat suci Al-Quran yang menuntut manusia supaya menjauhkan diri daripada melakukan keganasan dan kerosakan di muka bumi ini.

Sementara itu dua anggota keluarga Dr Azahari tiba di Jakarta petang semalam bagi melakukan pengecaman terhadap mayat yang didakwa oleh polis Indonesia sebagai mayat " pakar bom " tersebut.

Keluarga Dr. Azahari berpendapat pelbagai maklumat yang diperolehi masih bercelaru dan mengelirukan mereka sehingga merasa perlu membuat pengecaman sendiri.

Seorang jurucakap kedutaan Malaysia di Jakarta berkata mereka hanya mendapat tahu bahawa adik Dr. Azahari yang bernama Bani Yamin dan birasnya Rustam Mustamir telah tiba petang semalam tetapi tidak dimaklumkan mengenai pergerakan mereka sehingga malam semalam.

"Kita melihat di kaca TV mereka diserbu oleh media massa tempatan sebaik keluar dari lapangan terbang dan kemudiannya memberi keterangan ringkas tetapi mereka belum menghubungi kita," katanya jurucakap berkenaan.

Bani Yamin seperti dipetik stesen televisyen tempatan berkata beliau akan meminta bantuan dan nasihat kedutaan mengenai prosedur menurut undang-undang Indonesia bagi mendapat kebenaran membuat pengecaman mayat DR. Azahari, yang kini ditempatkan di Hospital Polis Indonesia Sukanto di Kramat Jati di Jakarta.

Mereka juga akan mendapatkan nasihat kedutaan bagaimana untuk menguruskan jenazah bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia itu untuk dibawa pulang dan dikebumikan di Malaysia.

Jurucakap kedutaan berkata mereka akan membantu mana yang perlu tetapi semua permohonan kepada pihak-pihak berkuasa Indonesia yang berkaitan harus diuruskan sendiri oleh keluarga Dr. Azahari.

"Ini termasuklah soal mendapatkan izin daripada polis Indonesia untuk membawa pulang mayat Azahari selepas selesai siasatan lanjut yang dilakukan ke atas mayatnya," katanya, yang menambah bahawa semua bayaran berkaitan juga menjadi tanggungjawab keluarga Dr. Azahari.

Polis Indonesia telah mengesahkan mayat seorang daripada dua lelaki yang terbunuh itu ialah Dr.Azahari berdasar kesan cap jari, rupa dan susuk tubuhnya.