Annuar: Umno hormati keputusan parti komponen Sarawak
Umno menghormati dan menerima baik keputusan diambil parti-parti komponen BN Sarawak untuk meninggalkan gabungan itu, kata ketua penerangannya Tan Sri Annuar Musa.
Annuar berkata pihaknya percaya keputusan itu telah difikirkan secara mendalam oleh pimpinan terbabit dengan mengambil kira senario politik semasa.
Menurutnya, beliau juga telah berhubung dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kini berada di Mekah bagi membincangkan isu tersebut.
"Saya diarahkan oleh pengerusi BN supaya mengeluarkan kenyataan mengenai perkara ini.
"Kita percaya mereka (komponen di Sarawak) telah fikirkan secara mendalam dan sudah tentu kepentingan rakyat Sarawak dan negeri telah diambil kira," katanya kepada media ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, hari ini,
Terdahulu, empat parti utama komponen Sarawak dilaporkan keluar daripada gabungan BN iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresi (PDP).
Sehubungan itu semua parti berkenaan kini membentuk pakatan baru yang dikenali sebagai Gagasan Parti Sarawak (GPS).
Langkah itu bermula dengan kenyataan Presiden PBB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 16 Mei lalu bahawa parti itu akan mengkaji semula kedudukan dalam BN, sehinggalah kepada pertemuannya dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lalu.
Sementara itu, Annuar yang juga anggota parlimen Ketereh berkata, pembentukan GPS mungkin dibuat bagi memudahkan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan.
"Itu mungkin sebagai salah satu cara untuk memudahkan urusan kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan.
"BN menghargai keputusan itu dan mengucapkan terima kasih atas segala kerjasama yang mereka berikan ketika masih bersama dalam BN," katanya.
Tambah beliau, Umno dan BN menerima realiti keadaan politik semasa dan perkara ini akan dibincangkan selanjutnya oleh rakan-rakan parti komponen lain.

