Media Prima Bhd telah melantik Datuk Mohd Nasir Ahmad sebagai Pengerusi Kumpulan, berkuatkuasa hari ini.
Kumpulan media itu dalam satu kenyataan hari ini, juga mengumumkan pelantikan Raja Datuk Zaharaton Raja Zainal Abidin sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kanan dan Mohd Rashid Mohd Yusof sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.
"Mohd Nasir mula menyertai Lembaga Pengarah pada 26 Feb 2016. Beliau adalah Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif dan telah dilantik sebagai Pengerusi Interim Kumpulan pada 21 Mei 2018," katanya.
Media Prima juga berkata ia telah mengadakan proses pelantikan yang teliti ke atas kedudukan pengerusi kumpulan dan percaya bahawa Mohd Nasir adalah calon yang paling sesuai untuk menerajui Media Prima ke hadapan kerana ia telah menjadi syarikat e-dagang dan pembekal kandungan terkemuka di Malaysia.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Bhd itu mempunyai pengalaman selama lebih daripada 30 tahun dalam bidang kewangan, perakaunan dan pengurusan.
Mohd Nasir menggantikan Tan Sri Ismee Ismai, yang meletak jawatan pada bulan lepas "untuk memberi tumpuan kepada komitmen lain."
- Bernama
