Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berikrar menjaga kebajikan kesemua pengamal perubatan sama ada doktor, jururawat dan kakitangan hospital yang lain.

Dzulkefly berkata beliau akan meneliti masalah dihadapi mereka, termasuk waktu bekerja di kalangan doktor yang menjangkau sehingga lebih 30 jam.

"(Jika bekerja lebih masa) mereka mungkin cenderung melakukan kesilapan dan ini memberikan tekanan kepada pesakit yang datang.

"Terdapat peraturan yang mengawal selia tugas pengamal perubatan profesional supaya mereka tidak sampai ke satu tahap di mana doktor hilang keupayaan melakukan tugas," katanya.

Beliau juga berjanji melihat kemungkinan memberikan cuti sehari kepada doktor atau pakar perubatan yang bekerja selama berjam-jam.

Dr Dzulkefly berkata demikian ketika ditanya mengenai panggilan bekerja lebih masa kepada para doktor yang menyebabkan mereka pulang lewat ke rumah.

Dalam sesetengah kes, terdapat di kalangan mereka pulang dalam keadaan mengantuk sehingga menyebabkan kemalangan.

Pada masa ini, seseorang doktor perlu bertugas sekurang-kurangnya 24 jam dan terpaksa kembali semula ke hospital keesokan harinya mengikut waktu pejabat.

Keadaan ini dikatakan lebih tertekan dengan peningkatan jumlah pesakit di hospital kerajaan berikutan kenaikan kos sara hidup.

Dzulkefly berkata apabila kes-kes seperti itu berlaku, ia akan mewujudkan keadaan negatif akibat waktu bekerja yang panjang.

"Untuk berlaku adil, kita ada prosedur operasi standard. Saya berjanji akan menjaga kesejahteraan doktor. Bukan hanya doktor tetapi juga jururawat termasuk kakitangan hospital yang lain," jelasnya.

Strok dan penyakit jantung

Menegaskan prinsip mencegah lebih baik daripada mengubati, Dzulkefly berkata kementerian itu juga akan memulakan usaha menggalakkan masyarakat bersenam dan menjaga diet pemakanan yang betul.

Ini berikutan kebanyakan penyakit yang mengakibatkan kematian di kalangan rakyat Malaysia berpunca daripada amalan dan gaya hidup.

Dzulkefly berkata penyakit seperti strok dan kardiovaskular seperti jantung masih merupakan pembunuh nombor satu di Malaysia ketika ini.

"Strok dan penyakit kardiovaskular menyumbang 22.26 kematian di hospital kerajaan dan ini diikuti oleh penyakit respiratori pada kadar 21 peratus.

"Nombor tiga dalam senarai itu ialah penyakit berjangkit pada kadar 13.3 peratus dan kanser di tempat keempat pada kadar 12.6 peratus," katanya menambah penyakit jantung juga disebabkan amalan dan gaya hidup.

Dzulkefly yang merupakan ahli toksikologi yang berkelayakan berkata tembakau atau rokok adalah punca utama penyakit strok dan jantung.

Oleh itu katanya kerajaan tidak bercadang menurunkan harga rokok meskipun cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) telah dihapasukan.

"Kementerian tidak akan membenarkan pengurangan harga rokok, tetapi akan meningkatkan duti eksais untuk rokok. Kami tidak akan membenarkan pengurangan cukai haram (sin tax) kerana ia adalah sebahagian daripada dasar kerajaan.

"Saya telah berbincang dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai perkara ini dan beliau bersetuju tidak akan ada penurunan harga rokok berikutan pemansuhan GST, "katanya.

Lihat Komen
ADS