PM kecewa kemalangan jalanraya masih tinggi
Sedih dan kecewa - begitulah rumusan perasaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai jumlah kemalangan maut yang tinggi pada musim perayaan yang lepas.
Perdana Menteri berkata kerajaan sudah melakukan segala-galanya untuk menjadikan jalan dan lebuh raya selamat, termasuk membesarkannya supaya pengguna boleh memandu dengan selamat ke destinasi masing-masing.
Sedih dan kecewa - begitulah rumusan perasaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai jumlah kemalangan maut yang tinggi pada musim perayaan yang lepas.
Perdana Menteri berkata kerajaan sudah melakukan segala-galanya untuk menjadikan jalan dan lebuh raya selamat, termasuk membesarkannya supaya pengguna boleh memandu dengan selamat ke destinasi masing-masing.
"Tapi semuanya seolah-olah tidak memberi makna langsung kepada mereka yang menggunakan jalan raya itu. Mereka bawa tentulah dengan keadaan yang tidak cermat, bila tak cermat itulah akibatnya. Seorang punya pasal, ramai yang mati.
"Saya sangat sedih dan kecewa," kata Abdullah pada perhimpunan bulanan kakitangan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pagi tadi. Beliau mengulas mengenai 233 kematian yang direkodkan sepanjang dua minggu Ops Sikap IX yang berakhir 10 November lepas.
"Saya pun tak tahu mengapa susah sangat tapi biasanya akal manusia payah nak ubah, sikap manusia payah nak ubah," katanya.
Menurut laporan Bernama, Abdullah turut menggunakan kiasan berbunyi: "Bukit dan gunung boleh dicangkul dan diratakan. Tapi manusia seorang susah benar, kalau lagi ramai lagi susah. Nak mengubah sikap bukan senang."
Statistik polis menunjukkan 233 terkorban iaitu peningkatan sebanyak 33 kematian atau 16.5 peratus daripada yang dicatatkan sepanjang Ops Sikap dari 8 November hingga 21 November tahun lepas.
Kemalangan tertinggi membabitkan 141 penunggang dan pembonceng motosikal, diikuti kereta (55), pejalan kaki (17), basikal (lapan), teksi (tiga), lori (tiga), van (dua), jip (dua), penumpang bas (satu) dan penumpang kenderaan lain (satu).
Abdullah berkata kejadian yang berlaku di jalan raya menunjukkan bahawa ada kalanya mereka yang mematuhi peraturan jalan raya juga tidak dijamin keselamatannya.
"Kerana ada yang tidak memandu dengan cermat dan apabila kemalangan berlaku, bukan sahaja mereka mati atau cedera parah, malah orang dalam kereta lain juga terlibat," katanya.
Perdana Menteri berkata kematian akibat kemalangan merupakan kerugian besar kepada ibu bapa, saudara-mara dan orang lain.
"Dan apabila ibu bapa sendiri yang terbunuh, semuanya sedih," katanya.
Abdullah berkata beliau gembira kerana tiada kakitangan Jabatan Perdana Menteri yang terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan balik ke kampung halaman atau semasa pulang ke bandar.
"Mungkin saudara saudari semua mematuhi nasihat saya semasa bulan Ramadan supaya memandu dengan selamat," katanya.
Abdullah berkata Malaysia bertuah kerana bebas daripada ancaman bencana seperti gempa bumi kuat, kemarau atau taufan yang membawa kesengsaraan kepada penduduk di negara lain di seluruh dunia.
Bagaimanapun beliau berkata tsunami yang berlaku tahun lepas menjadi peringatan Tuhan kepada manusia supaya jangan terlalu yakin.
"Kita mesti bersyukur. Namun dalam kes kita, ia berpunca daripada kesilapan diri sendiri," katanya merujuk kepada kemalangan jalan raya akibat kecuaian.

