MP DAP tak setuju Mahathir bela Daim
Seorang anggota parlimen DAP menempelak Tun Dr Mahathir kerana mempertahankan Majlis Penasihat Kerajaan yang meminta hakim-hakim kanan meletak jawatan.
Kata Ramkarpal Singh, langkah tersebut boleh dilihat sebagai tindakan mengabaikan prinsip pemisahan kuasa antara badan eksekutif dan perundangan negara.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini anggota parlimen Bukit Gelugor itu mengingatkan, asas begitu penting dalam mana-mana amalan demokrasi ialah badan eksekutif tidak campur tangan dalam hal ehwal perundangan.
"Tidak ada salahnya mengkritik pelantikan ketua hakim negara dan presiden mahkamah rayuan.
"Bagaimanapun keadaan adalah berbeza untuk memanggil mereka dan menuntut mereka meletak jawatan
"Ini sangat salah sama sekali," katanya.
Ramkarpal membuat kenyataan berkenaan sebagai mengulas langkah Dr Mahathir memihak kepada Majlis Penasihat Kerajaan yang memanggil dua hakim paling kanan dalam negara baru-baru ini.
Batasan sudah dilanggar
Dalam pertemuan itu pengerusi majlis terbabit, Tun Daim Zainuddin, didakwa mendesak Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Hakim Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin supaya meletakkan jawatan masing-masing.
Memetik kenyataan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram Malaysiakini pada 10 Jun lalu melaporkan pertemuan terbabit berlangsung di pejabat Daim.

Sri Ram berkata Daim tidak sepatutnya menuntut peletakan jawatan terbabit kerana mengikut perlembagaan tiada sesiapa berhak membuat desakan itu kecuali perdana menteri.
"Walaupun ini mungkin didorong oleh niat yang terbaik, apa yang berlaku adalah sangat salah," katanya.
Dr Mahathir kemudian mempertahankan tindakan itu kerana berpendapat majlis terbabit tidak melanggar bidang kuasa yang diberikan kepadanya.
Ramkarpal menegaskan tindakan Dr Mahathir bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang yang diamalkan di negara ini.
Katanya majlis penasihat itu dilantik oleh kerajaan. Justeru, kata Ramkarpal, semua tindakan yang diambil seolah-olah melambangkan kehendak kerajaan.
"Perlembagaan Persekutuan menetapkan cara bagaimana hakim boleh disingkirkan.
"Ia mesti dipatuhi pada setiap masa sesuai dengan kedaulatan undang-undang.
"Majlis Penasihat Kerajaan jelas melanggar batas dalam kes ini dan ia tidak boleh diterima," katanya yang juga seorang peguam.

