Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin berkata beliau kini boleh menjadi seorang penulis sepenuh masa selepas meletakkan jawatannya sebagai jurucakap media Majlis Penasihat Kerajaan.

"Sebagaimana dimaklum dalam kenyataan saya, tiada sesiapa yang mendesak saya untuk meletakkan jawatan atau tidak melepaskannya...

"Keputusan saya hanya untuk menjadi penulis daripada (kerjaya) lainnya...saya patut meletak jawatan.

"Jika apa yang saya tulis dikaitkan dengan orang lain, maka ia tidak baik kepada saya dan kepada orang yang berkait saya juga," kata mantan ketua pengarang Kumpulan NSTP itu.

Kadir menegaskan perletakan jawatannya tiada kena-mengena dengan sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.

Ucap selamat hari raya Aidilfitri

"Ia keputusan saya sendiri...ia cara berfikir saya sebagai seorang wartawan..." katanya kepada pemberita ketika ditemui di Menara Ilham, Ampang, hari ini.

Ditanya siapa yang akan menggantikan tugas beliau, Kadir berkata tiada pengetahuan mengenai hal itu.

Beliau berkata kehadirannya hari ini kerana bertemu dengan pengerusi Majlis Penasihat Tun Daim Zainuddin tetapi enggan menjelaskan butiran pertemuan tersebut.

"Saya di sini untuk mengucapkan Daim, selamat hari raya Aidilfitri," jelasnya.

Sabtu lalu, wartawan veteran itu meletak jawatan sebagai ketua media dan komunikasi Majlis Penasihat selepas suatu hantaran kontroversi di blognya yang menyentuh perbelanjaan peribadi Yang di-Pertuan Agong.

Dalam catatan di blognya, Kadir mendakwa sebanyak RM256.9 juta dibelanjakan untuk  Sultan Muhammad V antara Januari 2017 dan April tahun ini.

Dalam satu mesyuarat tertutup dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Anggota Parlimen PKR pada 6 Mei, Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulas Kadir, berkata beliau sepatutnya lebih tertib.

Kadir berkata beliau dan Anwar berada dalam keadaan yang baik walaupun beliau mengakui tiada komunikasi di antara mereka selepas ulasan Anwar berkenaan catatan di blognya itu.

"Tak bercakap. Hubungan dengan Anwar sentiasa baik, kita sudah lama berkawan.. sejak 1982. Saya kenal beliau sebelum beliau menyertai Umno ketika beliau mengetuai ABIM dan setelah beliau menyertai Umno, saya mengenali beliau dengan lebih baik lagi," katanya.

Diminta mengulas lawatan empat hari Anwar ke London bagi menghadiri siri pertemuan dengan menteri-menteri United Kingdom, Kadir berkata Anwar berhak untuk pergi ke mana sahaja yang beliau mahu.

"Kami di Malaysia dan sebahagian besar dunia, kami menikmati kebebasan pergerakan, beliau bebas melakukan perjalanan sama ada dalam kapasiti rasmi atau tidak .. itu tidak penting, beliau seorang ahli politik dan beliau mempunyai khalayaknya maka beliau boleh pergi ke mana sahaja yang beliau suka jadi tiada yang luar biasa tentang itu.

Beliau mempunyai sebab dan tentu saja memiliki hak melakukan perjalanan, tidak seperti orang yang tidak dapat melakukan perjalanan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS