Berita Malaysiakini

Malaysia Timur intai jawatan ketua hakim negara

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pemimpin Malaysia Timur berharap dapat melihat ketua hakim negara pertama yang dilantik dari Sabah dan Sarawak berikutan perletakan jawatan Tun Md Raus Sharif daripada kedudukannya dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Salah seorang pemimpin itu ialah Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu (UPP) George Lo yang berpendapat Sarawak percaya Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum sekarang harus dipertimbangkan menjawat Ketua Hakim Negara.

"Sebabnya ialah Malanjum merupakan hakim paling kanan di Mahkamah Persekutuan dan beliau berhak sepenuhnya untuk pelantikan berdasarkan jawatan kanan dan kelayakan.

"Malanjum (gambar) akan menjadi hakim pertama dari Malaysia Timur yang dilantik ke jawatan tertinggi badan kehakiman dan akan menghantar isyarat kuat bahawa kerajaan persekutuan yang baru serius dengan pelantikan jawatan berdasarkan kekananan dan kelayakan," katanya.

UPP parti serpihan SUPP yang mesra BN semalam mengumumkan keluar daripada gabungan itu.

Dengan pemergian Raus dan Zulkefli daripada jawatannya, hakim kanan seterusnya ialah Malanjum dan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Tan Sri Ahmad Maarop.

Lo berkata jika Malanjum tidak dipilih maka akan timbul persoalan di kalangan rakyat Malaysia Timur

"Sekiranya Malanjum terlepas jawatan itu walaupun kekananan dan kelayakan yang tidak dapat disangkal laki, maka rakyat Malaysia Timur berhak untuk mempersoalkan kesaksamaan perlantikan kehakiman di bawah pentadbiran baru.

"Oleh itu, kami meminta supaya Malanjum dilantik menjadi ketua hakim negara yang akan datang," katanya.

Menurut pendaftar mahkamah persekutuan, Raus dan Zulkefli pada 15 Mei bertemu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyampaikan hasrat mereka meletakkan jawatan.

Pendaftar berkata mereka menghantar surat perletakan jawatan mereka kepada Yang Di-Pertuan Agong pada 7 Jun dan pihak istana telah menerima pemergian mereka.

Peletakan jawatan itu berkuat kuasa pada 31 Julai 2018, kata pendaftar mahkamah.