Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kolumnis PAS: Banyak harta lambatkan Najib, Rosmah masuk syurga
Diterbitkan:  Jun 13, 2018 2:18 PM
Dikemaskini: 9:02 AM

Kolumnis akhbar PAS Subky Latif berkata banyak harta boleh melambatkan seseorang itu masuk syurga.

“Ketika rencana ini ditulis, sudah dua minggu polis masih belum selesai mengira harta yang dirampas dari Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Najib.

“Bukan seorang dua polis membilang, bahkan sepasukan, masih meneruskan mengira duit tunai dan nilai lain harta. Demikian banyaknya harta Rosmah yang dirampas.

“Banyaknya harta itu, jika ia adalah hasil sepencarian antara Rosmah dan suaminya, Najib nescaya boleh melambatkan mereka masuk syurga.

“Terpaksa menunggu di pintu syurga kerana semuanya diaudit dulu, dari mana ia didapati dan cara ia dibelanjakan,” katanya.

Subky tidak merujuk secara khusus rampasan mana yang dirujuknya itu.

Polis telah merampas beberapa barangan daripada rumah Najib, 'rumah selamatnya' di Putrajaya dan kondominium mewah yang dikaitkan dengan bekas presiden Umno itu.

Antara dirampas wang tunai lebih RM100 juta dan hampir 300 kotak beg tangan berjenama mewah.

Setakat 10 Jun lepas, dilaporkan pengiraan barang kemas dan jam tangan mewah dalam baki 37 bagasi yang dirampas di Pavilion Residences Apartment masih belum selesai dikira, sungguh pun hampir memasuki minggu kedua.

Menulis dalam kolumnya di Harakahdaily hari ini, Subky bagaimanapun berkata beliau tidak bermaksud harta itu haram.

“Katakanlah ia hartanya yang sah, tetapi begitulah syarat untuk masuk syurga, semuanya diaudit dulu sebelum dibenarkan masuk syurga,” katanya.

Memetik seorang tok guru dalam kuliahnya, Subky berkata, Nabi Sulaiman sendiri, yang kekayaannya tidak terkira, terpaksa menunggu selama 40 tahun justeru audit atas hartanya baru selesai.

“Tetapi itu peraturan hendak masuk syurga, semua harta itu diaudit dulu.

“Hatta Raja (Nabi) Sulaiman sendiri terpaksa menunggu 40 tahun,” katanya.

Lihat Komen
ADS