Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno: Lebih mudah muflis jika pinjam yen
Diterbitkan:  Jun 13, 2018 3:04 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

Pemuda Umno hari ini melahirkan rasa hairan dengan tindakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Jepun memberi kredit yen kepada Malaysia.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Shahril Hamdan berkata langkah itu menyebabkan risiko muflis lebih tinggi kerana terdedah kepada turun naik kadar tukaran asing dan faedah negeri Jepun.

“...negara tidak akan muflis apabila meminjam dalam mata wang sendiri.

“Pengeluaran ringgit dikawal oleh Bank Negara Malaysia, jadi tak timbul isu negara akan muflis dengan 98 peratus daripada hutang kerajaan didenominasi dalam ringgit.

“Hutang kerajaan ini bukan macam hutang kita individu-indivbidu atau isu rumah,” katanya.


Baca: Dr Mahathir minta pinjam Yen daripada Jepun


Setakat ini, kata Shahril, hampir semua hutang kerajaan adalah dalam ringgit dan hanya dua peratus hutang kerajaan dalam mata wang asing, termasuk yen.

Mahathir semalam mendedahkan beliau meminta Jepun memberi kredit yen dengan rakan sejawatannya itu Shinzo Abe berkata beliau akan menimbang permohonan itu.

Jepun pernah memberi pinjaman mudah kepada Mahathir menjadi perdana menteri kali pertama pada 80-an dengan kadar faedah hanya 0.7 peratus yang dibayar balik lebih 40 tahun.

Kerajaan baharu pimpinan Mahathir, yang mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri ketujuh bulan lepas, mendedahkah hutang kerajaan kini mencecah RM1 trilion.

Sementara itu, Shahril juga berkata Malaysia masih berhutang berbilion ringgit kepada Jepun yang dibuat pada tahun 90-an.

Antaranya, kata beliau, untuk projek khusus seperti projek pembangunan luar bandar, pembinaan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan projek Empangan Beris, projek pembangunan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

“Tindakan Tun Mahathir menimbulkan lebih banyak persoalan daripada penyelesaian,” katanya.

“Kalau pinjaman daripada Kerajaan Jepun dibuat untuk projek-projek pembangunan tak apa lagi, tapi pinjaman ini katanya dibuat untuk selesaikan hutang kerajaan yang asalnya dalam ringgit sendiri.”

Lihat Komen
ADS