Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib, Rosmah raikan Aidilfitri di Seri Kenangan
Diterbitkan:  Jun 13, 2018 5:17 PM
Dikemaskini: 9:19 AM

Biarpun berdepan dengan dugaan hebat dalam hidup mereka, pasangan Datuk Seri Najib Razak dan Rosmah Mansor kelihatan tetap tabah berhari raya.

Malah untuk meraikan kedatangan Aidilfitri seawal lusa ini, pasangan suami isteri terbabit tidak lupa meraikan orang ramai yang masih mengagumi mereka.

Justeru sempena sambutan hari raya kali ini Najib dan Rosmah akan mengadakan rumah terbuka di kediaman mereka, Sri Kenangan, di Pekan, pada 15 Jun.

Walaupun tarikh rasmi 1 Syawal hanya akan diketahui malam esok dengan pengumuman daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja diyakini Aidilfitri akan disambut pada Jumaat ini.

Menurut poster yang disebarkan, Ketua Umno Pekan itu akan mula meraikan kedatangan tetamu seawal jam 10.30 pagi. Tiada waktu bila majlis berkenaan akan berakhir.

Najib ialah anggota parlimen pembangkang yang mewakili Pekan selepas BN tumbang diatasi Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum lalu.

Pada tahun lalu - ketika beliau masih bergelar perdana menteri - sambutan rumah terbuka sempena hari raya dilaporkan menarik kedatangan kira-kira 70,000 orang.

Majlis itu diadakan di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Pekan.

Sejak menjadi perdana menteri pada 2009 Najib dan Rosmah mengadakan sambutan rumah terbuka di Putrajaya sebelum diikuti dengan program sama dianjurkan oleh Umno di PWTC.

Hanya selepas itu beliau akan meraikan orang ramai di kawasan yang diwakilinya di Pekan.

Bagaimanapun setakat ini tidak nampak lagi sebarang tanda Umno akan mengadakan rumah terbuka hari raya selepas parti itu tersingkir daripada kerajaan pada 9 Mei lalu.

Sementara itu majlis rumah terbuka kerajaan Pakatan Harapan akan diadakan di Sri Perdana, Putrajaya.

Orang ramai yang berhajat mengunjungi rumah terbuka tersebut dinasihat supaya meletakkan kereka masing-masing di Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra sebelum menaiki bas khas yang disediakan secara percuma di situ.

Lihat Komen
ADS