Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis siasat dakwaan anggotanya tumbuk, tampar pelajar

Polis telah membuka kertas siasatan berhubung seorang pelajar ditumbuk serta ditampar oleh seorang anggota polis di kawasan berhampiran Hospital Sungai Siput (U) di Ipoh pada Selasa lalu (11 Jun).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Yahya Abd Rahman berkata dalam kejadian awal pagi lelaki berumur 23 tahun itu dikejar kereta peronda polis selepas dia tidak memberhentikan keretanya sewaktu lampu isyarat merah berhampiran sebuah stesen minyak di Chemor di Ipoh.

Beliau berkata polis berjaya menahan pengadu di kawasan berhampiran hospital itu.

“Pengadu kemudiannya membuka pintu kereta dan salah seorang polis dikatakan telah tumbuk dan menamparnya.

“Pengadu juga telah dibawa ke Balai Polis Chemor dan disaman bagi kesalahan lalu lintas yang tidak berhenti di lampu isyarat sewaktu berwarna merah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengadu buat laporan polis

Beliau berkata pihak polis telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 24 Akta Polis.

Katanya, seksyen itu memperuntukan kepada pihak polis untuk memberhentikan dan memeriksa kenderaan yang disyaki melakukan kesalahan terhadap undang-undang lain yang berkuatkuasa.

“Kesalahan ini merupakan satu kesalahan yang boleh ditangkap tanpa waran, boleh didenda tidak lebih RM500 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” katanya.

Menurut Yahya, pengadu kemudian membuat laporan polis dengan mengatakan dia ditumbuk serta ditampar oleh pihak polis kira-kira pukul 3.15 petang pada hari yang sama.

“Kes itu disiasat mengikut seksyen 323 Kanun Keseksaan. Pengadu juga telah diarahkan untuk menjalani rawatan di hospital yang berdekatan,” katanya sambil menambah kedua-dua kes itu disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput.

-Bernama

Lihat Komen
ADS